KARNIVAL Kerjaya Keluarga Malaysia antara yang menjadi tumpuan pada hari kedua 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang bermula semalam.
Karnival dibawah anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO telah dikunjungi orang ramai selepas dibuka seawal pukul 8 pagi.
Rata-rata pengunjung tidak mengira peringkat usia hadir ke karnival ini bagi mencari peluang kerjaya yang ditawarkan oleh lebih 74 majikan daripada pelbagai industri termasuk syarikat besar dan ternama seperti ExxonMobil, Prasarana, dan UOA Group.
Bagi pencari kerja, Razan Sulung, 56, dia hadir pada karnival itu bagi mendapatkan kerja baharu untuk menyara isteri dan tiga orang anaknya.
Katanya, dia sebelum ini bekerja sebagai pemandu dan penyelia syarikat swasta diberhentikan kerja kira-kira dua tahun lalu.
“Saya sudah dua tahun tidak kerja, dah lama duduk di rumah. Disebabkan itu, saya tiada pendapatan dan hanya mengharapkan simpanan yang ada.
“Saya berharap hari ini dapat mencari kerja baharu untuk menyara keluarga saya. Kalau boleh dapat kerja dalam bidang yang saya mempunyai pengalaman kerja sebelum ini seperti menyelia,”katanya.
Sementara itu, Muhd Idham Hamzah, 24, berkata, dengan keadaan pandemik dan ekonomi sekarang, dia tidak kisah sekiranya mendapat pekerjaan yang bukan dalam bidangnya.
“Sekarang ini saya masih bekerja Grab Food, dan cuba untuk mencari peluang kerja yang lebih menjamin masa depan,” katanya.
Harapan sama disuarakan Noor Aqilah Safiah Sahlan, 25, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan agar mendapat pekerjaan sesuai.
Menurutnya, sebelum ini dia bekerja kerani di sebuah pasar raya di Ampangan, Seremban.
“Sudah enam bulan saya kerja di situ, namun saya mengharapkan peluang kerjaya yang lebih baik di karnival ini.
“Saya lihat ada syarikat yang saya berminat untuk mendapatkan lebih lanjut tentang kerjaya iaitu Hicom Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd,” kata graduan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu. _ Edisi 9