24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

2,288 pelajar terima tawaran pinjaman MARA ke luar negara

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) terus memperkasakan sektor modal insan dalam bidang pendidikan dengan menawarkan pinjaman pelajaran ke luar negara kepada 2,288 pelajar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, MARA masih mengamalkan dasar penghantaran pelajar ke luar negara terutamanya kepada pelajar cemerlang untuk menyambung pengajian di pelbagai peringkat pengajian bermula daripada Ijazah Pertama hingga ke peringkat Profesional dan Doktor Falsafah.

“Pelaksanaan program ini adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti, bertaraf global yang bukan sahaja berjaya dalam akademik tetapi mempunyai akhlak dan sahsiah terpuji serta berketerampilan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas Majlis Simbolik Penyerahan Surat Tawaran kepada 3 orang pelajar tajaan MARA sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Antara pelajar yang menerima tawaran itu ialah Irfan Shamer Burhanudin yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usulluddin) di Universiti Al Albayt, Jordan.

Manakala, Nurul Hanis Muhammad menerima tajaan melalui Profesional Development Programme (Pro-P) untuk mengikuti pengajian Perakaunan-ACCA di University of South Wales, United Kingdom.

Advertisements

Noorshafrina Zulkalnain pula ditawarkan ke pengajian Ijazah Sarjana Applied Mathematics & Physics di Moscow Institute of Physics & Technology, Rusia melalui tajaan Graduate Excellence Programme (GREP).

Jelas Mahdzir, MARA pada tahun ini telah menaja seramai 57,351 orang pelajar untuk menyambung pengajian di dalam dan luar negara.

“Daripada jumlah itu, 52,556 pelajar menyambung pengajian di dalam negara dan 4,795 pelajar ke luar negara.

“Ia melibatkan program pinjaman pelajaran MARA peringkat siswazah (YTP), TESP, STEP dan pasca siswazah (GREP & Pro-P),” katanya.

MARA jelas Mahdzir, mengamalkan polisi tajaan 89 peratus kepada golongan B40, 10 peratus untuk golongan M40 dan 1 peratus kepada golongan T20.

“Melalui peruntukan yang disediakan, ini membuktikan kerajaan menerusi MARA terus komited dalam agenda pemerkasaan Bumiputera terutama mereka yang datang daripada masyarakat luar bandar untuk menjadi tulang belakang kepada asas pembangunan negara,” kata Mahdzir.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan