28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Kanak-kanak lelaki 5 tahun maut didera ibu, kekasih

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG kanak-kanak lelaki maut dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandungnya sendiri serta kekasih wanita itu dalam kejadian di rumah mereka di Taman Nusa Bistari, Iskandar Puteri, Johor Bahru semalam.

Kanak-kanak berusia lima tahun itu meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, dengan kecederaan di mulut serta lebam di seluruh bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis Johor Bahru Selatan (JBS) menerima panggilan daripada petugas HSA mengenai kematian kanak-kanak itu kira-kira 12.20 tengah hari.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama dua suspek iaitu ibu kandungnya berusia 32 tahun dan teman lelakinya berusia 35 tahun serta seorang adik dan kakak.

“Pemeriksaan ke atas badan mangsa terdapat kecederaan pada mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan kemungkinan akibat didera.

“Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan poly pipe di atas sofa serta kesan darah di rumah suspek.

“Pemeriksaan awal oleh pihak HSA terhadap mangsa mendapati kanak-kanak itu sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, mangsa dibawa sendiri oleh ibu kandungnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Susulan laporan kematian itu, polis menahan pasangan kekasih yang disyaki mendera kanak-kanak lelaki berkenaan.

Beliau berkata, proses bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini selepas keputusan ujian calitan Covid-19 mangsa diperolehi.

Katanya, kedua-dua suspek itu ditahan masing-masing di Taman Nusa Bestari dan HSA bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau yang sama iaitu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan empat rekod mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah, selain akan dimohon reman hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan