33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Nyanyian Adik Aqim sentuh hati Ismail Sabri

Kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan golongan OKU, malah sentiasa mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka terutamanya dalam agenda Keluarga Malaysia.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

ALUNAN suara dan dendangan lagu yang disampaikan seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang dikenali sebagai Adik Aqim ketika Sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Sedunia malam tadi menyentuh perasaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apatah lagi melihat senyuman Adik Aqim dan dendangan lagu Ratuku membuatkan pemimpin negara itu terkesima dan tiada kata-kata yang mampu diucap.

“Ia amat tersentuh di hati saya. Semalam ketika menghadiri majlis Malam Kasih OKU, persembahan nyanyian Pelangi Petang Adik Aqim amat menyentuh jiwa semua yang hadir.

“Ternyata Adik Aqim mempunyai bakat dan minat yang mendalam dalam bidang nyanyian sehingga beliau mendapat perhatian netizen ketika menyampaikan persembahan yang syahdu itu di pertandingan CP Got Talent.

“Semoga Adik Aqim berjaya dalam bidang yang diceburinya dan senantiasa di bawah lindungan Allah SWT. Amin,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Majlis sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) Sedunia Peringkat Kebangsaan itu dilangsungkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Beliau juga sempat beramah mesra dengan Adik Aqim, diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan golongan OKU, malah sentiasa mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka terutamanya dalam agenda Keluarga Malaysia.

Kerajaan, katanya, menyedari dalam tempoh hampir dua tahun ini seluruh rakyat terbeban dengan ancaman pandemik COVID-19 dan golongan OKU merupakan antara kelompok yang sangat terkesan akibat wabak itu.

Justeru, selain menyeru OKU bersiap-siaga untuk menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan ke arah fasa endemik, kerajaan katanya akan sentiasa membantu dan menyokong agar golongan ini terus kental, berdaya tahan dan bersifat anjal bagi menyesuaikan diri dengan cara hidup norma baharu.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 lebih banyak peluang ekonomi disediakan kepada OKU melalui pelbagai platform termasuk ekonomi perkongsian dan ekonomi digital,” – Edisi 9

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan