25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Hospital Cyberjaya guna dana awam, kenapa diswastakan?

Hospital tersebut merupakan satu-satunya hospital kerajaan yang ada di daerah Sepang, kata UMNO Cawangan Bandar Cyberjaya

Mesti Baca

UMNO Cawangan Bandar Cyberjaya membantah cadangan kerajaan menyerahkan Hospital Cyberjaya yang kini siap dibina menggunakan dana awam, kepada pihak swasta.

Timbalan Ketua Cawangannya, Dr Aziemah Maryam Abdu Manaf berkata, ini kerana ia satu-satunya hospital kerajaan yang ada di daerah Sepang yang sebahagian besar penduduknya adalah golongan B40 dan M40.

Menurutnya, pembinaan hospital tersebut atas keperluan terdesak penduduk tempatan kerana hospital yang terdekat adalah Hospital Putrajaya, Serdang dan Banting, malah ada yang terpaksa mendapatkan rawatan sehingga ke Seremban.

“Hospital Cyberjaya dibina menggunakan dana awam yang patut beroperasi sepenuhnya sebagai hospital kerajaan, dan bukannya secara swasta atau hibrid.

“Keputusan yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat dilihat bercanggah dengan tujuan asal penggunaan dana awam,” katanya.

Beliau membuat kenyataan itu dalam memorandum yang diserahkan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bertarikh 3 Disember lalu, sepertimana dikongsi menerusi twitter UMNO cawangan itu.

Surat bantahan itu turut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Nood Hisham Abdullah.

Hospital Cyberjaya bernilai RM475 juta mula dibina pada 2017 di atas tanah seluas 5.18 hektar dan mempunyai kapasiti 288 katil.

Advertisements

Ia dikatakan mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan bukan sahaja kepada penduduk Cyberjaya, tetapi juga penduduk sekitarnya seperti di Puchong, Dengkil dan Sepang.

Dr Aziemah berkata, keberadaan Hospital Cyberjaya sepatutnya dapat mengurangkan kesesakan Hospital Putrajaya dan Serdang.

Apatah lagi, katanya, kini semakin ramai penduduk dari luar daerah itu berpindah ke Cyberjaya atas tujuan pekerjaan dan perniagaan.

“Terdapat banyak projek rumah seperti Rumah Selangorku dan PR1MA telah dibina dan dipenuhi dengan penduduk dalam masa yang singkat.

“Tidak dilupakan juga, terdapat beberapa buah kampung orang asli dalam daerah Sepang.

“Ini menunjukkan rakyat dalam kategori B40 dan M40 menetap di daerah Sepang yang memerlukan perkhidmatan kesihatan untuk seisi keluarga dengan kos termampu,” katanya.

Beliau berkata, daerah Sepang juga sedang pesat membangun dalam sektor teknologi, penerbangan dan perkilangan di samping peningkatan bilangan mahasiswa di beberapa institusi pengajian tinggi.

Katanya, ini telah menyumbang kepada jumlah populasi daerah Sepang

Justeru, beliau berharap agar Khairy mempertimbangkan semula cadangan penswastaan Hospital Cyberjaya, sebaliknya kekal dengan cadangan asal untuk menjadikannya sebagai hospital di bawah kendalian Kementerian Kesihatan sepenuhnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan