27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Hari AKM sasar 120,000 pengunjung

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HARI Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang bermula hari ini sehingga Ahad depan yang bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menyasarkan kira-kira 120,000 pengunjung.

Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Wan Azilawati Wan Mahmood berkata, ia melibatkan sasaran seramai 20,000 pengunjung secara bersemuka dan 100,000 pengunjung secara dalam talian.

Menurut beliau, hari AKM merupakan cetusan ilham daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pembentukan Kabinet baharu pada 27 Ogos lalu.

“Program ini juga adalah sebagai aspirasi Keluarga Malaysia membuktikan komitmen kerajaan dalam mengutamakan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk menilai prestasi 100 hari AKM bagi setiap ahli jemaah menteri,” katanya.

Beliau berkata, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama bermula 1 September lalu sehingga hari ini.

“Sebanyak 31 Kementerian telah menetapkan sasaran AKM masing-masing berdasarkan kepada enam teras antaranya menstruktur semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara serta meningkatkan kesejahteraan sosial.

“Tiga lagi teras adalah mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh, memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasa penyampaian perkhidmatan,”katanya.

Advertisements

Mengulas lanjut, beliau berkata, program tersebut akan dibuka kepada pengunjung bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam sepanjang empat hari ia berlangsung.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung antaranya karnival kerjaya Keluarga Malaysia, program jom masuk IPT (institusi pengajian tinggi), diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta I’m Youth.

“Selain itu, kita juga akan menganjurkan pertandingan e-Sports, sukan rakyat, padanan perniagaan (business matching), pameran dan jualan usahawan, perkhidmatan langsung agensi kerajaan serta cabutan bertuah.

“Turut dijalankan adalah Zikir Berkah Keluarga Malaysia, Quran Hour dan malam aspirasi seni,” ujarnya.

Pada masa sama, Wan Azilawati menjelaskan, terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) asas yang perlu dipatuhi pengunjung semasa berkunjung ke program tersebut.

“Antaranya, pengunjung perlu mengimbas suhu dan mengimbas MySejahtera sewaktu memasuki KLCC, manakala kanak-kanak yang belum divaksin (bawah 12 tahun) perlu hadir bersama ibu bapa atau penjaga.

“Selain itu, pengunjung juga perlu mengamalkan penjarakan fizikal sepanjang masa, jumlah kehadiran pengunjung di dalam dewan dihadkan mengikut kapasiti yang dibenarkan dan mereka yang baru pulang dari luar negara dalam tempoh kurang tujuh hari dinasihatkan tidak hadir,” katanya.

Ujar beliau, pihak penganjur juga menetapkan satu meter penjarakan fizikal di semua lokasi dalam dewan dan mewajibkan pengunjung memakai pelitup muka. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan