PERDANA Menteri hari ini memberi komitmen untuk meneruskan Projek Fasa 2 Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang telah dibatalkan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun peruntukan bagi fasa tersebut sudah tidak ada lagi setelah pembatalan oleh kerajaan PH, namun beliau akan berusaha untuk meneruskannya semula.
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi tujuan tersebut.
“Perancangan kita terhenti selama 22 bulan selepas perancangan kerajaan BN (Barisan Nasional) yang lepas. Bajet telahpun diluluskan untuk projek Fasa 2.
“Tapi apabila bertukar BN kepada PH (Pakatan Harapan). Bajet yang ada telah dibatalkan. Tidak ada lagi bajet, sebab itu tak dapat teruskan projek-projek Fasa 2 dan menaik taraf jalan sedia ada yang disebut redline dan missing link tadi.
“Kalau tak berlaku pertukaran (kerajaan) pasti ia diteruskan,” kata Perdana Menteri ketika berucap dalam Majlis Perasmian Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bagi Jajaran Serian, Pakej Kerja 03 di Serian hari ini.
Beliau berkata, kerajaan Pusat melihat pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak penting untuk memudahkan perjalanan dan meningkatkan ekonomi rakyat negeri itu.
Ismail Sabri berkata, banyak lagi perancangan telah dibuat antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi kemudahan rakyat Sarawak.
Oleh sebab itu, tegas beliau, rakyat negeri itu perlu mengekalkan kerajaan sedia ada kerana perubahan tampuk pemerintahan akan memberi kesan besar bukan sahaja di peringkat Pusat tetapi juga negeri.
“Kesemua perancangan ini mudah dilakukan kerana hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri yang rapat. Sekarang ini lebih mudah kerana hubungan saya dan Abang Johari rapat, antara Persekutuan dan kerajaan Sarawak adalah rapat.
“Oleh itu, tak boleh ada perbezaan bentuk kerajaan negeri dan Persekutuan, parti juga hendaklah sama. Sekarang ini kerajaan Persekutuan ada empat parti termasuk GPS (Gabungan Parti Sarawak).
“Saya harap kerajaan GPS akan terus kekal memerintah Sarawak,” katanya.
Untuk rekod, Projek Fasa 1 Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dibahagikan kepada 11 Pakej Kerja melibatkan laluan sepanjang 786 kilometer dari Telok Melano ke Miri.
Kerja-kerja pembinaannya kini telah mencapai tahap 74 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun hadapan.
Manakala Fasa 2 pula dari Limbang ke Lawas serta jajaran ‘missing link’ iaitu Persimpangan Kuala Baram ke Sungai Tujoh CIQ di Miri.
Perdana Menteri berkata, projek lebuh raya itu adalah hasil perancangan rapi dan bersifat holistik antara kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri melalui Highway National Development Planning (HNDP).
Pelaksanaannya pula, jelas beliau, merupakan bukti komitmen kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada, secara lebih terancang, sistematik dan efisien.
“Ia dilakukan bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.
“Secara langsung ia dapat memastikan pembangunan sosio ekonomi, dilakukan dengan lebih baik dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat di negeri ini selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya. – Edisi 9