28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Pandangan Hadi UMNO mungkiri piagam MN tersasar – Tok Mat

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PANDANGAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa UMNO telah memungkiri piagam Muafakat Nasional (MN) adalah tersasar, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagaimanapun menurut Timbalan Presiden UMNO itu, pandangan yang dilontarkan oleh Hadi itu tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormatnya kepada pemimpin parti tersebut.

“UMNO tidak pernah mungkir pada piagam Muafakat Nasional (MN). Kepada rakan-rakan dalam Pas, janganlah kita lupa bahawa MN tidak ditubuhkan dengan matlamat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mesti menjadi sebahagian darinya,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Mohamad mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa Pas menolak gagasan MN kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mohamad menegaskan, salah satu sebab MN itu dibidani kelahirannya ialah untuk menentang Pakatan Harapan (PH) dan ketika itu Bersatu adalah komponen parti tersebut.

“Justeru untuk memaksa UMNO menerima Bersatu adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan. Apalagi bila mengenangkan bagaimana Bersatu bersekongkol dengan DAP dalam menentang UMNO dan menumbangkan kerajaan pimpinan UMNO,” katanya.

Mohamad berkata, benar MN harus memayungi semua orang Melayu, namun sesiapa jua yang ingin dibawa masuk ke MN mestilah serasi dengan kepentingan UMNO dan Pas.

“Piagam MN pula mestilah ditafsirkan selari dengan realiti politik semasa UMNO dan Pas. Kerana itu UMNO tidak pernah mengajak PKR, Amanah, Putra ataupun Pejuang untuk menyertai MN, walaupun mereka juga sebahagian dari ummah yang berkepentingan.

“Jujurnya kerana UMNO tidak mahu menyinggung Pas. Pas dan seluruh Malaysia telah arif bahawa perwakilan dalam Perhimpunan Agong UMNO memutuskan bahawa, UMNO tidak akan melakukan apa jua kerjasama dengan Bersatu dan UMNO terikat dengan pendirian berkenaan.

“Jadi amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima, sebelum Pas mencadangkan keanggotaan baharu dalam MN,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata, piagam MN adalah persefahaman yang tidak mengikat atau didaftarkan kerana UMNO mahu orang Melayu melihatnya sebagai wadah untuk semua, dan bukan instrumen politik UMNO dan Pas semata-mata.

“Jadi janganlah dek kerana UMNO tidak mahu menerima Bersatu, MN itu Pas tinggalkan,” katanya.

Menurut beliau, kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar dari kepentingan Bersatu menyertai MN.

“Jadi, janganlah kita melakukan sesuatu yang akhirnya akan menjauhkan lagi orang Melayu daripada MN.

“Semoga Tan Sri Presiden Pas akan terus bersama UMNO dalam meneroka pelbagai dimensi baru dalam membangunkan keberdayaan bangsa Melayu, Insha-Allah,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan