25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pengetua salah guna kuasa dipenjara 3 bulan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG pengetua sekolah menengah terpaksa meringkuk di dalam penjara selama tiga bulan selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan bagi tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan peralatan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65 kira-kira empat tahun lalu.

Memetik laporan Bernama, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah menolak rayuan Norliza Mat Radzi, 53, berhubung sabitan, hukuman penjara tiga bulan dan denda RM40,500 dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Julai 2017.

Hanipah yang mengetuai panel itu berkata, hukuman penjara dijatuhkan ke atas Norliza oleh Mahkamah Sesyen tidak terlalu berat memandangkan tempoh maksimum hukuman penjara bagi kesalahan itu ialah 20 tahun.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang itu, yang bebas atas jaminan sementara menunggu rayuan, diperintah menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di sekolah itu antara 12 Februari dan 13 April 2016.

Sebelum ini, Norliza gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Advertisements

Dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,500 bagi pertuduhan pertama iaitu memilih syarikat miliknya sendiri, Orean Collection, untuk menjadi membekalkan alat bantuan mengajar bernilai RM2,091.65.

Bagi pertuduhan kedua iaitu memilih syarikat sama untuk membekalkan tuala kecil bagi program ‘Selamatkan Bumi Kita’ bernilai RM500, dia dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000.

Norliza turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 bagi pertuduhan ketiga iaitu memilih syarikat sama untuk membekalkan hamper, set fail, alat tulis dan pingat bagi program Perkhemahan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan 2016 bernilai RM4,000.

Mahkamah Sesyen memerintahkan Norliza menjalani hukuman penjara secara serentak. Dia membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Norliza diwakili peguam Anwar Ab Raof manakala Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir hadir bagi pihak pendakwaan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan