29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

KPM perkukuh dasar pengambilan ke SBP

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang merangka dasar lebih menyeluruh bagi memperkukuh pendekatan pengambilan murid ke sekolah berasrama penuh (SBP).

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, keutamaan diberikan kepada murid berpotensi dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan, selaras usaha menyediakan akses pendidikan berkualiti dan saksama kepada murid B40.

Menurutnya, permohonan kemasukan ke SBP bagi sesi 2021 dibuat melalui kaedah ‘single entry point’, iaitu Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) secara dalam talian.

“PKSK adalah kaedah pentaksiran standard secara berpusat dan dilaksanakan kepada murid memohon ke sekolah khusus, merangkumi tiga komponen utama iaitu kecerdasan insaniah, intelek dan artikulasi penulisan.

“Semua murid warganegara berdaftar dengan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) KPM layak memohon kemasukan ke SBP mulai 2020 bagi sesi persekolahan 2021 dan tahun berikutnya.

“Syarat pemilihan murid ke sekolah khusus, termasuk SBP adalah melepasi syarat minimum PKSK dan aktif dalam aktiviti kokurikulum,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, kebolehpasaran graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) KPM berada pada tahap 98.29 peratus, antara 2020 hingga 31 Oktober lalu.

Menurutnya, KPM sentiasa menekankan keperluan untuk memastikan tenaga pengajar TVET adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai pengalaman industri.

KPM memberi keutamaan kepada individu berpengalaman bekerja di industri, sekurang-kurangnya tiga tahun bagi pengambilan tenaga pengajar TVET baharu, mulai 2017.

“Dalam memastikan tenaga pengajar sedia ada mempunyai pengetahuan, kemahiran berkaitan teknologi terkini dan keperluan industri, mereka perlu menjalani latihan berkala dalam aspek ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ melalui kursus training of trainers (ToT), sangkutan industri serta kursus pensijilan profesional dari semasa ke semasa.

“Tenaga pengajar juga turut mengikuti kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan memperoleh sekurang-kurangnya pensijilan tahap 4.

“KPM sentiasa memastikan tenaga pengajar TVET KPM dilengkapi kemahiran pedagogi berkesan, diselarikan perkembangan teknologi terkini dan keperluan industri dalam memberikan pendidikan berkualiti kepada murid,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan