PESTA Konvokesyen merupakan acara wajib yang dinanti-nantikan apabila menjelang Majlis Konvokesyen, tidak terkecuali bagi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bakal melangsungkan Majlis Konvokesyen Kali ke-19 pada 23 November ini.
Seiring dengan tema Pandemik Covid-19 Pemangkin Prosumer Muslim Yang Berdisiplin, program diterajui di bawah Majlis Perwakilan Pelajar ini buat kali keduanya dijalankan secara dalam talian bagi mengelakkan penularan Covid-19.
Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen ini telah dirasmikan Ahli Lembaga Pengarah USIM, Mohamad Hariri Mohd Daud secara dalam talian di Facebook Pesta Konvo USIM, pada Khamis.
Dalam ucapannya, beliau berkata, walaupun dibuat secara dalam talian, apa pun perubahan lokaliti bagi meraikan graduan ini, semangat untuk meraikan ilmu itu tetap dibawa.
Katanya, pesta tersebut boleh dianggap sebagai majlis meraikan ilmu, menjunjung ilmu dan majlis memartabatkan ilmu setelah melalui proses akademik secara berstruktur oleh pihak universiti.

“Jadikanlah proses ini sebagai satu proses pembelajaran, seterusnya permulaan kepada sebuah kehidupan baru dengan ‘menumpahkan’ ilmu yang dipelajari untuk dikongsikan kepada bangsa, masyarakat dan yang paling penting agama.
“Kita mahukan graduan-graduan USIM bertebaran di seluruh negara bahkan di seluruh dunia dan akan menjadi pemimpin ummah pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
Pesta konvokesyen kali ini dibahagikan kepada enam kluster utama iaitu Kluster Pertandingan, Kluster Wacana Ilmiah, Kluster Sukan, Kluster Ekspresi Seni, Kluster Jualan dan Kluster Perasmian.
Bermula pada 6 sehingga 30 November, pelbagai pengisian menarik dianjurkan antaranya program Kepuk-kepuk USD, Nino! Nino! Psycho Aid, Pertandingan Pidato, Nocturnal Run 6.0, Write it Right!, Pusingan Akhir Daie Fest dan lain-lain.
Pesta konvokesyen kali ini turut mendapat tajaan daripada Pusat Keusahawanan Universiti, Hirex Printing dan Azdan Quranic Centre. – Edisi 9