32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

5 minggu selepas rentas negeri dibenarkan, Rt mula cecah 1.0

Keadaan ini sangat berisiko dan berpotensi untuk menyebabkan peningkatan kes yang mendadak

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

HANYA selepas lima minggu aktiviti rentas negeri dibenarkan di negara ini, kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-Naught) didapati meningkat kepada angka 1.0.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, nilai berkenaan adalah mengikut jangkaan kes harian semalam untuk seluruh negara.

“Apa yang dimaksudkan dengan nilai R-naught 1.0 ini ialah, bagi setiap individu yang dijangkiti COVID-19, seorang lagi individu akan dijangkiti virus tersebut.

“Keadaan ini sangat berisiko dan berpotensi untuk menyebabkan peningkatan kes yang mendadak sekiranya penularan jangkitan tidak dikawal sebaiknya,” katanya hari ini.

Khairy turut meluahkan, setelah hampir dua tahun mengharungi pandemik COVID-19, beliau percaya Keluarga Malaysia telah faham dan mahir dengan kaedah-kaedah mencegah diri serta komuniti daripada jangkitan wabak ini.

Menurutnya, amalkanlah pembudayaan norma baharu jika kita ingin menjalani kehidupan bersama virus COVID-19 dengan selamat.

“Pakailah pelitup muka dengan betul pada setiap masa, elakkan daripada mengunjungi tempat yang sesak sehingga tidak boleh melakukan jarak fizikal, elakkan juga daripada bersentuhan dan sentiasa gunakan hand sanitiser atau cucilah tangan dengan kerap.

“Perkukuhkan tindakan kesihatan kendiri dengan mengamalkan TRIIS bagi mendidik diri kita menjadi individu yang bertanggungjawab dan melindungi orang-orang disekeliling kita daripada risiko jangkitan,” katanya.

Malah, beliau turut menggesa seluruh Keluarga Malaysia untuk mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 apabila janji temu diberikan.

“Bersamalah kita mencegah penularan wabak ini, sekaligus membantu memulihkan negara. Data menunjukkan liputan imuniti yang diberikan oleh vaksin akan mula berkurangan selepas enam bulan vaksinasi lengkap diterima.

“Oleh sebab itu, pakar kesihatan awam telah menyarankan agar dos penggalak diberikan untuk liputan imuniti yang optima.

Menurutnya, walaupun kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa di Malaysia telah melebihi 95 peratus dan lebih 75 peratus bagi keseluruhan penduduk, jangan kita cepat leka dan lalai.

“Antara strategi kerajaan dalam menghadapi ancaman COVID-19 adalah dengan pencegahan. Melalui pencegahan, penularan virus dapat dikawal dan rantaian jangkitan diputuskan. Vaksin juga adalah satu daripada langkah pencegahan utama dalam melindungi diri dan orang sekeliling daripada jangkitan COVID-19.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan