29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

JKNS sahkan wanita berusia 56 tahun dijangkiti kolera

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan terdapat satu kes kolera (taun) dilaporkan di daerah Petaling pada 21 Oktober lalu.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, kes itu membabitkan seorang wanita warga tempatan berusia 56 tahun.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati wanita itu mengalami gejala cirit birit teruk dan sudah mendapatkan rawatan pada hari sama di sebuah fasiliti kesihatan swasta.

“Wanita itu dirawat sebagai pesakit luar dan diambil sampel najis untuk dijalankan ujian dan keputusan ujian daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan menunjukkan kehadiran bakteria Vibrio Cholerae, serogroup 01, serotype Ogawa.

“Susulan itu semua kontak rapat sudah disaring manakala sampel persekitaran dijalankan dan sehingga kini tiada tambahan kes positif kolera dikesan.

“Siasatan lanjut dijalankan secara menyeluruh, namun kita tidak dapat mengenalpasti punca jangkitan dan tiada kes baru diterima sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Sha’ari berkata, wanita itu sudah sihat sepenuhnya selepas mendapatkan rawatan sewajarnya.

Justeru itu menurutnya, seiring dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JKNS ingin menegaskan bahawa penyakit kolera mampu merebak dengan cepat dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera.

Advertisements

“Masyarakat diseru untuk sentiasa minum air terawat dirawat atau air sudah dididihkan.

“Sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan mencuci tangan, mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya mempunyai gejala kolera dan tidak makan makanan mentah atau tidak dimasak sempurna.

“JKNS akan sentiasa memantau situasi semasa di Selangor bagi membendung sebarang kemungkinan perebakan penyakit kolera,” katanya.

Taun (kolera) adalah penyakit jangkitan bakteria Vibrio cholerae pada usus kecil yang menyebabkan cirit birit teruk serta mendadak apabila ia banyak serta cair selain berbau busuk dan menyamai air basuhan beras.

Antara gejala lain adalah kadar nadi dan degupan jantung laju, kulit kering, terlalu dahaga, kurang kencing, kekejangan abdomen, loya dan lain-lain.

Gejala muncul beberapa jam hingga lima hari selepas terdedah kepada jangkitan.

Di Malaysia, terdapat 133 kes taun pada 2007 dengan kadar insiden 0.54/100,000 penduduk.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan