PUNCA kematian Ketua Penolong Pengarah Kanan, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Chai Koh Meow semalam masih lagi dalam siasatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu KKM memohon supaya mana-mana pihak tidak membuat spekulasi kes kematian mendiang.
Menurut beliau, siasatan mengenai punca kematian mendiang masih berjalan.
“KKM memohon agar mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes beliau sehingga keputusan bedah siasat rasmi diperolehi.
“KKM juga memohon masyarakat umum menghormati privasi keluarga mendiang. Pihak KKM berdukacita dengan pemergian seorang pegawai kami yang komited dan berdedikasi dalam tugasan beliau,” katanya dalam hantaran ucapan takziah melalui Facebook, hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham menyatakan, Dr Chai seorang yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, masyarakat setempat dan komuniti perubatan tradisional dan komplementari.
Menurutnya, mendiang juga sudah melengkapkan dos vaksinasi penggalak COVID-19 pada 9 November lalu.
“Beliau tidak melaporkan apa-apa kesan sampingan luar biasa selepas mendapat vaksinasi itu. Malahan beliau hadir bekerja dan bertugas seperti biasa hingga 16 November,” katanya.
-EDISI9