25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bajet 2022 diluluskan di peringkat dasar – Tengku Zafrul

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BAJET 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa sama, kerajaan juga akan memberi sebanyak RM100 juta peruntukan tambahan bagi menambah baik segala urusan pentadbiran, kecekapan dan ketelusan pengurusan kewangan serta bajet membabitkannya.

Menurut Tengku Zafrul, sebanyak RM10 juta akan disalurkan kepada Jabatan Audit Negara untuk mengukuhkan keupayaan serta pengoptimuman proses pengauditan.

“Ia selari dengan titah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kerajaan mengambil tindakan sewajarnya susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini berhubung isu pembaziran wang awam.

“Langkah tersebut diambil setelah mengambil kira pandangan Ahli-Ahli Parlimen supaya peruntukan Jabatan Audit Negara ditambah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini, lapor Kosmo Online.

Advertisements

Beliau berkata, penambahan itu turut merangkumi RM15 juta bagi meningkatkan keberkesanan peranan Parlimen dalam tadbir urus yang diperkukuh dengan jawatan kuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Kerajaan juga akan menyediakan sejumlah RM10 juta untuk menyokong usaha Kumpulan Parlimen Rentas Parti Malaysia-Matlamat Pembangunan Mampan (APPM-SDG) bagi meningkatkan program-program berkaitan selain mengeratkan kerjasama antara parti politik ke arah agenda kemapanan di peringkat akar umbi,”katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul menegaskan, sebanyak RM15 juta peruntukan tambahan akan diberikan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia dan agensi berkaitan bagi menggerakkan serta memantapkan ketersediaan data supaya setiap dasar kerajaan lebih inklusif, bersasar dan menyeluruh terutama yang melibatkan penyediaan bajet tahunan negara.

“Hal ini selaras dengan hasrat Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya data-data diperincikan ke peringkat negeri dan kawasan Parlimen serta pemusatan data bagi bantuan dan subsidi demi memastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar,” katanya.

Kerajaan turut menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi mengembalikan semula Skim Khairat Kematian sebanyak RM1,000 bagi penerima Bantuan Keluarga Malaysia bermula tahun hadapan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan