31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Covid-19: Kadar positiviti tinggi walau ada trend penurunan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KADAR positiviti masih lagi tinggi di negeri Kelantan walaupun terdapat trend penurunan kes jangkitan Covid-19 di negeri berkenaan sejak 13 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kadar positiviti dalam kalangan mereka yang bergejala juga tinggi iaitu sekitar 40 peratus.

Menurutnya, sebanyak 42 peratus penularan kes dalam komuniti tidak mempunyai hubungan epid dengan kes yang disahkan dan kadar penularan dalam kalangan kontak rapat serta kes kluster juga tinggi iaitu 58 peratus.

“Saya ingin menarik perhatian anda semua, terutamanya penduduk negeri Kelantan. Laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) juga menyatakan bahawa negeri Kelantan mencatatkan bilangan penawaran kompaun yang tertinggi di Malaysia.

“Selain itu, pemantauan oleh pihak JKN juga mendapati kadar positiviti yang tinggi juga adalah disebabkan bilangan saringan ujian saliva yang dilaporkan dalam MySejahtera terlalu sedikit.

“Maknanya di sini, ramai yang melakukan ujian saringan kendiri tetapi tidak melaporkan keputusan ujian tersebut dalam MySejahtera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya tadi.

Khairy berkata demikian susulan lawatan kerja rasminya di Kelantan semalam yang turut disertai pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau juga mengingatkan kepada individu yang melakukan ujian saringan kendiri, supaya melaporkan keputusan ujian saringan tersebut di dalam MySejahtera, sama ada keputusannya positif ataupun negatif.

Menurutnya, daripada taklimat yang diberikan oleh JKN Kelantan, antara faktor yang menyumbang kepada situasi peningkatan positiviti juga adalah termasuk liputan imunisasi yang rendah berbanding negeri lain, varian Delta dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang belum di tahap optima.

Advertisements

“Secara keseluruhannya, kita melihat trend penurunan kes jangkitan Covid-19 di Kelantan sejak 13 Oktober dan purata penggunaan katil di hospital juga bertambah baik.

Dalam pada itu menurut beliau, antara pendekatan dan strategi kawalan yang akan dilakukan adalah meningkatkan aktiviti penguatkuasaan pematuhan SOP terutamanya di tempat awam, sekolah dan di tempat kerja, meningkatkan liputan imunisasi Covid-19 dan meningkatkan saringan kontak rapat bagi pengesanan awal kes.

“Dalam rangka lawatan sehari ini, saya turut mengadakan lawatan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan telah mengumumkan kelulusan pembinaan sebuah modular ICU dengan kapasiti 20 katil.

“Langkah ini adalah satu langkah awal persiapan memantapkan kapasiti ICU sekiranya berlaku peningkatan kes,” tegasnya.

Sementara itu tambah beliau lagi, bagi kesiapsiagaan menghadapi banjir, JKN Kelantan telah membuat persiapan untuk penempatan mangsa banjir dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Bencana Negeri/Daerah.

“Untuk makluman, Sekretariat JPBN/D akan menyediakan 3 kategori Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu PPS untuk mangsa banjir biasa, PPS untuk kontak rapat dan PPS untuk kes positif COVID-19 Kategori 1 dan 2 (PPSC) sekiranya PKRC tidak dapat menampung bilangan kes sedia ada.

“Bagi negeri Kelantan, keseluruhannya terdapat 539 PPS biasa dan 20 PPSC yang akan disediakan untuk menghadapi situasi banjir monsun timur laut,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan