24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PPV mega berjaya percepat vaksinasi penduduk Lembah Klang

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega yang dilaksanakan kerajaan sejak Mei lalu adalah langkah yang tepat kerana ia berjaya mempercepatkan proses vaksinasi di Lembah Klang.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun langkah kerajaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri itu mendapat kritikan sesetengah pihak, namun hari ini hasilnya lebih 100 peratus penduduk mencapai kadar vaksinasi lengkap dalam masa singkat.

“Walaupun pembukaan PPV mega ini pada mulanya dikritik oleh sesetengah pihak, namun kerajaan di bawah kepemimpinan saya pada masa itu memutuskan untuk mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di bawah, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba bagi memastikan vaksinasi dapat diberikan secepat mungkin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia.

“Alhamdulillah, berkat usaha semua pihak terutama di PPV mega ini, populasi dewasa di Lembah Klang telah berjaya divaksinasi lebih awal dari jangkaan,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Muhyiddin berkata, dua minggu lalu, selepas 150 hari beroperasi, PPV mega World Trade Centre KL (WTCKL) telah menutup operasi dan berjaya memberikan 1.2 juta dos vaksinasi kepada penduduk Lembah Klang.

“Saya sendiri sempat melawat PPV mega pertama di negara ini sewaktu mula dibuka pada bulan Mei lepas. Saya masih ingat ketika itu, betapa kagumnya saya dengan proses vaksinasi yang lancar dan teratur walaupun dibuat pada skala besar.

“Semakin kita menghampiri sasaran vaksinasi negara yang akan menjangkaui 90 peratus populasi dewasa di Malaysia tidak lama lagi, semakin banyak PPV bakal ditutup secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Beliau berkata lagi, ini bermula dengan penutupan PPV mega WTCKL, yang mana sudah lebih 100 peratus populasi dewasa di Lembah Kelang lengkap menerima vaksin.

Muhyiddin juga ternyata gembira dengan perkembangan vaksinasi di seluruh negara yang kini hanya tinggal 0.3 peratus populasi dewasa untuk mencapai sasaran 90 peratus sebelum ini.

Katanya, apabila negara telah mencapai kadar vaksinasi populasi dewasa 90 peratus, lebih banyak kelonggaran termasuk merentas negeri akan dibenarkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Advertisements

“Walaupun begitu, kita hendaklah sentiasa mematuhi dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) asas,” kongsinya tadi.

Beliau berkata, usaha tersebut tidak akan berjaya tampa kerjasama semua pihak bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) iaitu program vaksinasi terbesar negara telah membuahkan hasil apabila Malaysia menjadi antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia.

“Trend jangkitan pandemik COVID-19 kini menunujukkan penurunan dan ini boleh lihat berdasarkan penurunan dalam jumlah kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Ini jelas membuktikan usaha dan perancangan Kerajaan selama ini berada pada landasan yang betul terutama dalam mengurus program vaksinasi negara dan seterusnya membuka sektor sosial dan ekonomi secara terancang dan selamat,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan dan pasukan sukarelawan yang bekerja keras, siang dan malam bagi menjayakan PICK berkenaan.

“Jasa dan pengorbanan anda sekalian menjadi bukti jelas bahawa semangat juang dan kecekalan rakyat Malaysia masih utuh dalam kita berhadapan cabaran yang cukup getir ini.

“Jutaan terima kasih juga kepada semua petugas di hospital-hospital seluruh negara dan barisan hadapan keselamatan yang masih terus memantau pematuhan SOP,” katanya.

“Saya ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar terus menumpukan usaha menjayakan PPN. Marilah kita mengambil langkah berjaga-jaga supaya pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur selaras dengan hasrat PPN, insya-Allah.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan