LAGI ahli UMNO mengecam tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataannya bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.
Terbaharu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi secara sindirian mengaitkan pula dengan isu menantu Muhyiddin yang dikatakan melarikan diri ke luar negara untuk elak siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
“Cuba Muhyiddin jawab. Menantu dia lari atau berhijrah? SPRM suruh dia serah diri. Maknanya dia lari. Kalau lari, hukumnya haram atau halal?
“Muhyiddin sudah ada kelayakan menghukum. Menurutnya siapa undi Suhaizan hukumnya haram. Muhyiddin terikut ikut budaya PAS
“Justeru, jangan tutup mata sebelah bila menantu dituduh lari. Jangan buat “fatwa selektif”. Menantu lari halal pula?,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Muhyiddin semasa sesi Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas baru-baru ini dikatakan telah mengatakan bahawa adalah haram memberikan undi kepada calon Perikatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan PRK Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dijalankan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 5 Sept dan hari mengundi pada 9 Sept.- Edisi 9