25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Royalti pasir: SPRM ambil maklumat daripada Idris Haron

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah berjumpa dan mengambil maklumat serta beberapa dokumen membabitkan isu royalti pasir daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, semalam.

Memetik laporan Utusan Online, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, pengumpulan maklumat secara lisan dan dokumen itu dilakukan selama dua jam bermula kira-kira pukul 3 petang oleh tiga pegawai SPRM di sekitar negeri ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, kesemua maklumat tersebut diserahkan kepada pihak ibu pejabat SPRM untuk dianalisis dan diperincikan sebelum tindakan atau siasatan lanjut dilakukan.

“Saya mengesahkan, SPRM telah berjumpa dengan beliau (Idris Haron) dan telah mengambil beberapa maklumat secara lisan dan beberapa dokumen yang ditunjukkan.

“Maklumat itu telah dihantar kepada pihak pengurusan tertinggi di ibu pejabat untuk dianalisa dan diperincikan.

“Kami di sini hanya membantu susulan kejadian berlaku di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Solat Jumaat Sempena Sambutan Ulang Tahun BPR/SPRM Ke 54 bertemakan Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi di Masjid Al Azim di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perjumpaan individu lain dalam kes tersebut, beliau berkata, perkara itu juga akan diputuskan oleh pengurusan di pusat.

“Kompleksiti maklumat ini agak tinggi, jadi semua tindakan lanjut akan ditentukan oleh ibu pejabat.

“Setakat ini, tindakan SPRM semalam juga lebih kepada berjumpa dengan beliau untuk mengambil maklumat, bukan keterangan. Kalau keterangan, ini bermakna kita menyiasat dia,” katanya.

Semalam, SPRM mengeluarkan kenyataan memandang serius dakwaan Idris berhubung isu pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka.

Idris dalam satu temubual pada Selasa lalu mendakwa perbuatan tersebut dilakukan oleh pemimpin UMNO.

Atas sebab tersebut, beliau menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka dengan tujuan menyelamatkan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. -Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan