26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pelaksanaan 7 teras OSHMP25 penting untuk rakyat – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan Tujuh Teras Strategik di bawah Pelan Induk Jangka Sederhana Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25) penting bagi meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.

Tujuh teras tersebut adalah pemerkasaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di sektor awam, pengukuhan amalan peraturan kendiri di tempat kerja, penggalakan pendidikan dan penyelidikan KKP serta pemerkasaan kesihatan pekerjaan.

Menurut beliau, adalah peningkatan pematuhan KKP di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemantapan KKP melalui teknologi dan peningkatan KKP berkaitan jalan raya ataupun work related road safety (WRRS), sektor informal serta pekerjaan masa hadapan.

“Pelan ini akan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dengan mengurangkan kadar kemalangan, kematian dan jangkitan penyakit, yang sekali gus membantu usaha kerajaan meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat.

“Ia (pelan) dirangka setelah mengambil kira senario pekerjaan kini yang telah berubah. Hari ini, ruang rumah setiap ahli Keluarga Malaysia sudah menjadi ruang pekerjaan. Begitu juga di kafe, gerai dan restoran,” katanya ketika melancarkan OSHMP25 secara maya hari ini.

Ismail Sabri berkata, Tujuh Teras Strategik yang mengamalkan budaya kerja selamat itu amat mustahak untuk dipatuhi oleh semua pihak.

Ujarnya, kesan langsung akibat pengabaian KKP boleh menyebabkan negara mengalami kerugian sebanyak 4 peratus daripada perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun.

“Namun, apa yang lebih diutamakan kerajaan ialah untuk mengelakkan kehilangan nyawa ahli Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada hampir semua aspek pekerjaan.

Katanya, penularan virus di tempat kerja merupakan antara risiko KKP yang menuntut kerajaan, majikan dan pekerja mengambil langkah mencegah penyebaran penyakit tersebut.

“Melangkah ke hadapan, kita perlu mengharungi persekitaran global yang dijangka semakin kompetitif akibat pandemik ini. Ia menuntut peralihan secara drastik kepada norma baharu pekerjaan, seperti bekerja dari rumah dengan peningkatan aktiviti dalam talian.

“Melihat dari sudut positif, senario baru ini sebenarnya membuka banyak peluang bagi warga pekerja. Definisi tempat kerja juga akan menjadi semakin kabur apabila pekerja tidak semestinya berada di pejabat,” katanya.

Justeru, beliau berkata, semakin ramai yang akan beroperasi dari rumah apabila kebanyakan komunikasi, mesyuarat dan transaksi kewangan dilakukan secara maya.-Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan