29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pelajar USIM johan tilawah, hafazan peringkat Wilayah

Mesti Baca

DUA pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan johan tilawah dan hafazan (1-30 juzuk) dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M baru-baru ini.

Mereka adalah Muhammad ‘Ammar Muhklis Abdul Mohsin, 23, dan Athirah Salihah Al- Azmi, 23, masing-masing dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Johan setiap kategori membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM5,000, pakej menunaikan umrah, sijil dan trofi.

‘Ammar, anak sulung daripada tiga beradik aktif menyertai pertandingan tilawah sejak di bangku sekolah rendah lagi mewakili negeri kelahirannya, Kedah.

Dia kemudian menyambung pengajian menengah di Maktab Mahmud Pokok Sena dan turut memenangi pertandingan dari tingkatan satu hingga lima semasa pengajiannya.

“Saya berasa bersyukur dan menganggap ia adalah rezeki kerana tahun lepas saya mendapat naib johan.

“Pada pertandingan kali ini cabaran berbeza apabila ia diadakan secara dalam talian buat kali pertama dan Alhamdulillah saya memenangi johan,” katanya dalam kenyataan.

Manakala Athirah yang berasal dari Kajang, Selangor turut melahirkan rasa syukur atas kemenangan ini.

Beliau mula aktif menyertai pertandingan hafazan ketika belajar di Sekolah Menengah Islam IQKL.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang penyertaan tersebut, beliau berkata, pengurusan masa dalam mengulang kaji hafalan dan aktiviti berpersatuan di fakulti.

“Dua hari sebelum bertanding saya menyertai kursus di fakulti dan keesokkannya adalah hari pertandingan.

“Alhamdulillah, kos pengajian saya dalam bidang Qiraat, dan ia merupakan satu kelebihan kerana saya berpeluang untuk sentiasa memperbaiki bacaan saya,” ujarnya.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan julung kalinya secara dalam talian melalui aplikasi Zoom ini disertai oleh 14 qari dan qariah.

Di samping itu, 26 peserta hafazan dalam tiga kategori, iaitu kategori 1 (1-10 juzuk), kategori 2 (1-20 juzuk) dan kategori 3 (1-30 juzuk) mengambil bahagian.

Majlis penutup dan pengumuman para pemenang telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Dr. Mohd Daud Bakar. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan