24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Expo 2020 Dubai: Malaysia jana RM 7.2 bilion potensi perniagaan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia berjaya menjana lebih RM7.2 bilion potensi perniagaan dengan beberapa syarikat yang berpangkalan di luar negara dalam tempoh dua minggu pertama penyertaan di Expo 2020 Dubai.

Menurut Perdana Menteri, jumlah keseluruhan untuk potensi perdagangan dan pelaburan tersebut diperolehi menerusi 14 Memorandum Persefahaman (MoU), tiga Surat Niat (LoI) dan dua Memorandum Kerjasama (MoC).

“Ia ditandatangani 14 syarikat Malaysia dengan rakan-rakan strategik mereka dari luar negara.

“Syarikat-syarikat luar negara tersebut berpangkalan di China, Mesir, India, Iran, Oman, Qatar, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, MoU tersebut antara lain merangkumi teknologi blockchain dan Internet of Things, minyak dan gas, robotik dan automasi serta penternakan akuatik dan bioteknologi.

“Selain itu, ia juga melibatkan sektor berintensifkan teknologi, kenderaan udara tanpa pemandu, teknologi termal dan ultrasound serta bidang pembangunan dan penyelidikan teknologi pengekstrakan herba.

Advertisements

“Sementara itu, LoI dan MoC pula melibatkan fabrikasi 1,000 unit modular rumah pintar hijau, pengedaran eksklusif kapal tanpa pemandu, sistem pertanian menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan ramalan penyelenggaraan bagi penyelesaian projek,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, ia merupakan pencapaian yang amat positif sepanjang dua minggu pertama penyertaan Malaysia di ekspo mega tersebut ketika negara berada dalam fasa pemulihan pasca Covid-19.

“Dijangkakan momentum ini akan berterusan untuk 25 minggu akan datang dengan sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang terlibat sama,” katanya.

Expo 2020 Dubai bertemakan Energizing Sustainability, Pavilion Malaysia itu turut mencatatkan lebih 50,000 pengunjung dari 1 Oktober hingga semalam.

Menurut beliau, kerajaan juga yakin akan melepasi jumlah sasaran di antara RM8 bilion hingga RM10 bilion terutamanya potensi perniagaan dan perdagangan dalam ekspo selama enam bulan ini.

“Tahniah kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku kementerian yang menerajui penyertaan Malaysia ke Expo 2020 Dubai, yang mana Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) adalah agensi pelaksana,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan