30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Malaysia sedia kembali sebagai hab pelaburan – Ismail Sabri

Hasil program vaksinasi yang aktif dalam menyediakan suasana persekitaran selamat kepada para pelabur.

Mesti Baca

MALAYSIA telah bersedia untuk kembali ke landasan sebagai hab pelaburan serantau dan antarabangsa menerusi hasil program vaksinasi yang aktif dalam menyediakan suasana persekitaran selamat kepada para pelabur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha tersebut boleh dicapai menerusi kerjasama berterusan dengan setiap ahli Keluarga Malaysia dan pada hari ini gelembung selamat dengan norma baharu untuk semua perniagaan diterapkan dengan selamat.

Menurut beliau, Malaysia menyediakan persekitaran yang paling kondusif untuk komuniti perniagaan melabur apabila negara ini sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Tambahnya lagi, 15 negara antara RCEP sedang menjana hampir 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan dianggarkan bahawa keseluruhan pendapatan KDNK negara berkenaan akan meningkat sebanyak AS$174 bilion menjelang 2030.

“Ini akan menyediakan syarikat dan perusahaan mikro kecil dan sederhana (MSME) kita peluang sama sambil memudahkan akses ke pasaran serantau yang lebih besar. Iklim pertumbuhan ini diperkukuhkan lagi oleh peningkatan yang konsisten Malaysia dalam bidang infrastruktur digital.

“Dalam beberapa tahun terakhir, Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan pesat dalam ekonomi digital, perniagaan dalam talian dan transaksi tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Invest Malaysia Kuala Lumpur 2021 Siri Maya 1: Pembaharuan Ekonomi anjuran Bursa Malaysia dan Maybank hari ini.

Menyentuh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Ismail Sabri berkata, rancangan itu menggariskan sembilan bidang fokus dalam memperkasakan pelaburan Malaysia.

Antaranya merancakkan pertumbuhan, mengukuhkan pemacu ekonomi, meningkatkan keselamatan sosial, membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan jurang pendapatan seluruh negara.

“Keunikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan sosial yang pelbagai strata telah lama memberi peluang kepada pelabur.

“Berbilang bangsa, misalnya, memerlukan keperluan yang berbeza. Dalam erti kata lain, lebih banyak produk dan perkhidmatan berpotensi untuk dipasarkan di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu Malaysia kekal aktif sebagai pemain utama dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTTPA).

“Kerjasama ekonomi antarabangsa ini menyediakan lebih 500 juta penyertaan dengan gabungan KDNK AS$10 trilion,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia juga telah memberikan perhatian khusus untuk teknologi hijau dalam Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR).

Beliau berkata, Malaysia telah mula mendorong banyak sektor dan industri dalam membangunkan teknologi yang diperlukan apabila lebih banyak negara menggunakan sasaran peneutralan karbon.

“Setakat ini, kerajaan Malaysia dan sektor swasta bekerjasama dalam visi dan strategi bersama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi mesra alam yang inklusif.
“Walaupun begitu, kami berhasrat untuk menjadi negara neutral karbon seawal 2050,” katanya.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan