32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

KPM ambil tanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekaligus memastikan semua pihak memahami Dasar Bahasa Kebangsaan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tanggungjawab berkenaan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menurutnya, sewajarnya tanggungjawab tersebut perlulah sama-sama digalas oleh setiap individu dalam masyarakat, termasuklah warga KPM.

“Peranan guru, khususnya guru bahasa Melayu amat penting dalam memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu dalam diri generasi baharu pewaris negara.

“Dasar Pendidikan Kebangsaan telah menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan.

“KPM bertanggungjawab melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan semua pihak memahami Dasar Bahasa Kebangsaan, terutamanya bagi seluruh warga sektor pendidikan,” katanya semasa Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan tahun 2021 hari ini.

Untuk rekod, Dekad Bahasa Kebangsaan atau DBK merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan yang telah diperkenalkan pada tahun 1999.

Dekad Bahasa Kebangsaan merupakan satu wadah untuk membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada generasi pewaris negara untuk menzahirkan rasa kecintaan mereka terhadap bahasa kebangsaan.

Radzi berkata, KPM berperanan penting dalam memastikan bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan, selaras dengan ketetapan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016 – 2025 telah dirangka dengan jelas dan terperinci agar semua pihak dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu.

“Dalam sejarah pendidikan Malaysia, Laporan Razak 1956 telah diterima sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957.

Menurutnya, laporan tersebut mencadangkan bahawa bahasa Melayu mesti dipelajari oleh semua murid serta menjadi mata pelajaran yang penting pada peringkat Sijil Rendah dan Sijil Pelajaran Kebangsaan.

“Oleh yang demikian, pendekatan aktiviti dalam DBK ini perlu bersesuaian untuk memastikan golongan muda atau anak-anak ini terus mencintai bahasa Melayu dan sentiasa mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

Menurut beliau, bersempena sambutan tahun ini, tema “Bahasa Wadah Penyatuan Bangsa” dipilih bertepatan dengan usaha kerajaan untuk membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui pelestarian bahasa kebangsaan.

Tambah beliau lagi, dalam konteks “Keluarga Malaysia” yang terdiri daripada masyarakat majmuk, bahasa merupakan wadah utama yang dapat merapat dan mengeratkan perpaduan masyarakat.

“Persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat dapat dibentuk apabila kita berkomunikasi menggunakan bahasa yang sama.

“Usaha menyatupadukan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan bahasa ibundanya yang tersendiri, bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya.

Radzi berkata, bahasa Melayu haruslah dipelajari atas dasar cinta dan semangat patriotik sebagai warga bumi bertuah, Malaysia.

“Saya yakin, inisiatif yang dilaksanakan dalam DBK ini, akan dapat menyemarakkan lagi rasa cinta dan bangga akan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seterusnya dapat mengukuhkan perpaduan seiring dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.

Malah menurutnya, sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah merupakan lingua franca yang pernah digunakan secara meluas di rantau ini.

“Semenjak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi, bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa perantaraan utama dalam pertuturan mahupun penulisan dalam perniagaan, perundingan dan perjanjian oleh para pedagang asing yang datang ke Kepulauan Melayu.

“Ini menjadi bukti kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa yang dapat digunakan oleh pelbagai bangsa,” katanya.

Radzi berkata, kekuatan bahasa Melayu dalam konteks ilmu telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa penyatu masyarakat.

“Hal ini jelas dilihat apabila bahasa Melayu berjaya menyatukan penduduk Nusantara sungguhpun rantau ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan suku kaum,” katanya.

Selain itu menurutnya, di peringkat KPM, Anugerah Tokoh Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan telah diperkenalkan pada tahun 2020 sebagai penghargaan serta suntikan semangat dan motivasi kepada warga pendidikan dalam memartabatkan penggunaan bahasa Kebangsaan.

“Dalam masa yang sama, media massa dan media sosial memainkan peranan yang cukup penting untuk menyebarluas segala program dan aktiviti berkaitan DBK kepada seluruh masyarakat.

“Dengan ini, kita akan dapat dapat sama-sama menggembleng tenaga dan idea dalam menggerakkan DBK khususnya dalam memperkasa dan melestarikan bahasa Melayu,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Afidavit Zahid manifestasi usaha pembelaan terhadap Najib

TINDAKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong petisyen Datuk Seri Najib Razak berhubung kewujudan...

Lagi Artikel Berkaitan