25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Harga purata ayam, telur terus stabil – KPDNHEP

KPDNHEP telah menggerakkan seramai 1,000 pegawai pemantau harga dan 2,200 pegawai penguat kuasa dalam membuat pemantauan dan pemeriksaan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Harga purata ayam nasional ketika ini berada pada sekitar RM8.70 sekilogram berbanding RM10 direkodkan pada awal September lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi kenyataan yang dikeluarkan berkata, kejayaan menurunkan harga purata ayam itu adalah hasil kerjasama erat KPNDHEP dan pemain industri ayam dan telur di negara ini.

“Menerusi sesi libat urus dijalankan, mereka (pemain industri) bersetuju mengurangkan margin keuntungan masing-masing dan ia sekali gus membantu meringankan beban pengguna.

“Mereka bersetuju melihat semula kos dan keuntungan di setiap peringkat rantaian sehinggalah harga import makanan ternakan ayam kembali stabil.

“Bagaimanapun, hanya dua daripada 560 premis yang diperiksa menjual ayam lebih daripada RM9.50 sekilogram pada 4 Oktober lalu,” katanya.

Katanya, ketika ini, harga purata nasional telur ayam Gred A (30 biji) ialah RM13.20, Gred B (30 biji) RM12.40, dan Gred C (30 biji) RM11.80.

Pada masa sama, KPDNHEP berkata, pihaknya memahami beban ditanggung pihak industri susulan kenaikan harga jagung dan protin soya di pasaran.

“Kenaikan itu memberi kesan kepada kos operasi di semua peringkat termasuk integrator makanan ternakan, penternak dan pengeluar, pemborong dan peniaga runcit.

“Ketika ini, harga hagung dan protin soya yang dimport sepenuhnya telah meningkat sebanyak 72 peratus dari USD236 per tan metrik pada tahun 2020 ke USD406 per metrik tan sejak pertengahan tahun ini,” katanya.

KPDNHEP berkata, pihaknya yakin kerjasama dalam semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan pemain industri akan mewujudkan situasi seimbang dan terkawal di pelbagai peringkat rantaian bekalan dan runcit ayam dan telur di pasaran tempatan.

Selain itu, katanya, KPDNHEP telah menggerakkan seramai 1,000 Pegawai Pemantau Harga dan 2,200 Pegawai Penguat Kuasa dalam membuat pemantauan dan pemeriksaan di peringkat runcit, pemborong dan pengeluar setiap hari bagi memastikan barangan itu dijual pada harga berpatutan.-Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan