KEPUTUSAN kerajaan menamatkan sepenuhnya subsidi dan harga kawalan ayam bermula esok dijangka tidak akan memberi kesan besar terhadap harga bahan mentah itu di pasaran.
Malah, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, harga ayam boleh didapati pada harga lebih rendah daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram (kg).
Jelas Armizan, bekalan ayam ketika ini mencukupi dan pemain industri turut memberi jaminan bahawa tiada kenaikan harga ayam mendadak bermula esok.
“Setelah pelaksanaan (subsidi dan kawalan harga ayam) selama 20 bulan, kita melihat dengan jaminan daripada industri bahawa kita boleh apungkan harga ayam.
“Pihak industri juga memberikan jaminan bahawa bekalan ayam mencukupi dan mereka berupaya untuk menjual pada kadar lebih rendah daripada harga kawalan (sebelum ini),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di Serdang, Selangor, hari ini.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November.
Katanya, penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi
Sementara itu, Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetap akan memantau harga ayam di seluruh negara.
Katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga yang mengambil kesempatan terhadap penamatan subsidi tersebut. – Edisi 9