32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

DUN Melaka dibubar, PRN jadi pilihan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kemelut politik di Melaka akhirnya diselesaikan menerusi pilihan raya negeri selepas cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Menteri diterima oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Sehubungan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini membubarkan dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

“Proklamasi pembubaran DUN Melaka diwartakan hari ini, 5 Oktober 2021,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan sekiranya berlaku pilihan raya di Melaka, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan dilaksanakan.

Ketetapan itu katanya, dibuat bagi mengelak berulangnya penularan wabak COVID -19 seperti yang pernah berlaku ketika pilihan raya negeri Sabah diadakan pada tahun lalu.

AB RAUF YUSOH

Untuk rekod sehingga malam tadi, 88.2 peratus populasi orang dewasa di Melaka sudah divaksinasi sepenuhnya.

Ditanya mengenai pelaksanaan pilihan raya negeri ketika COVID-19 masih menjadi ancaman, Ab Rauf berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mencadangkan kaedah yang rasakan sesuai.

“Terpulang kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat keputusan lanjut,” kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Beliau berkata, dengan pembubaran DUN Melaka hari ini, negeri itu ditadbir oleh kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya negeri selesai dijalankan.

Sementara itu Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan petang ini memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker berhubung pembubaran DUN Melaka.

Katanya, berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN.

Justeru, katanya, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut yang tarikhnya akan dimaklum kemudian. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan