29.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, November 29, 2022

BN serah kepada SPR putuskan PRN Melaka

BN memberi kepercayaan kepada Ketua Menteri untuk meneruskan pentadbiran sebagai kerajaan sementara (caretaker govenment) sehingga PRN diadakan.

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada perlu mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dalam tempoh 60 hari atau sebaliknya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, SPR akan membuat keputusan mengenai perkara itu setelah mendapat nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, sekiranya MKN memutuskan PRN tidak dapat dilakukan berikutan pandemik, BN berharap keputusan sama sepertimana di Sarawak dapat diputuskan namun menegaskan faktor kesihatan perlu diutamakan.

“Jika masalah pandemik, MKN dan KKM anggap amat bahaya untuk dibuat pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari, maka tentulah panduan sebagaimana yang berlaku di Sarawak mungkin boleh diikuti,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam yang bersetuju dengan cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas beliau dan kerajaannya hilang sokongan majoriti ahli dewan.

Baca juga:   Masjid Kariah Kota anjur Program Bank Makanan

Ini berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diketuai bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron menyatakan hilang kepercayaan kepada Sulaiman dan kerajaan Melaka, semalam.

Sementara itu, Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN memberi kepercayaan kepada Sulaiman untuk meneruskan pentadbiran sebagai kerajaan sementara (caretaker govenment) sehingga PRN diadakan.

Baca juga:   PN tawar RM200 untuk guru KAFA JAIM, atasi masalah trafik

Beliau juga menyerahkan kepada ADUN Lendu itu untuk memilih barisan Exco yang ada untuk membantu beliau melunaskan perjalanan dan pentadbiran kerajaan sementara itu.

“Pada hemat saya, tiga orang Exco yang sudah hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri tentu dapat berfikir bahawa mereka tidak lagi harus bersama-sama Ketua Menteri untuk melicinkan pentadbiran Melaka.

“Nasihat saya kepada Ketua Menteri dan barisan Exco itu, utamakanlah rakyat negeri Melaka tanpa mengira kaum; soal bandar, luar bandar, pinggir bandar. Keutamaan adalah aspek kesihatan terutama mendepani masalah pandemik,” katanya.

Tiga Exco Kerajaan Negeri yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri ialah Datuk Seri Idris Haron (BN – Sungai Udang), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu – Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pangkalan Batu).

Seorang lagi ADUN, Datuk Nor Azman Hassan (BN – Pantai Kundor) turut menyatakan ketidakpercayaan mereka terhadap kerajaan negeri.

Baca juga:   Rentas daerah di Sabah mulai esok, rentas negeri 1 November

Zahid turut menasihati rakyat Melaka agar terus memberi kepercayaan kepada Sulaiman yang akan mengetuai kerajaan sementara ini dan berharap ia dapat berjalan dengan lancar. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

Pemuda UMNO sokong ketegasan PM

PEMUDA UMNO menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mahu berlaku lagi kelulusan perolehan tanpa...

Lagi Artikel Berkaitan