25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

55 notifikasi kes keracunan metanol dari 7 negeri diterima

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima sebanyak 55 notifikasi kes keracunan metanol dari tujuh buah negeri dalam tempoh 9 hingga 30 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh negeri itu terdiri Selangor dengan 25 kes dilaporkan, Perak (13 kes), Pahang (5 kes), Pulau Pinang (6 kes), WP Kuala Lumpur (4 kes), Johor dan Negeri Sembilan masing-masing dengan satu kes.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 kes atau 47 peratus adalah terdiri daripada warganegara Malaysia manakala selebihnya adalah bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini.

Beliau berkata, secara kumulatif sejumlah 33 kes kematian telah dilaporkan menjadikan kadar serangan (Case Fatality Rate: CFR) sebanyak 60 peratus.

“Daripada jumlah kematian yang dilaporkan, 18 kes atau 55 peratus melibatkan warganegara Malaysia manakala 15 kes (45 peratus) adalah bukan warganegara iaitu tujuh warga Myanmar, lima warga India dan tiga warga Nepal.

“Sebanyak tujuh kes telah discaj dari hospital manakala terdapat 15 kes lagi yang masih menerima rawatan iaitu 12 kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes tidak kritikal yang dirawat di wad,” katanya.

Ujar beliau, keracunan metanol berlaku apabila minuman beralkohol yang diminum mengandungi metanol dalam dos yang toksik.

“Metanol boleh hadir dalam kuantiti yang toksik akibat proses distilasi minuman beralkohol yang tidak sempurna atau metanol dicampur ke dalam minuman beralkohol sebelum diminum.

“Keracunan metanol juga biasanya dikaitkan dengan minuman beralkohol yang dikilang secara tidak sah, kerana kebiasaanya metanol dicampur ke dalam minuman tersebut sebagai pengganti etanol. Ini adalah kerana harga metanol yang secara relatif lebih murah berbanding etanol, “katanya.

Advertisements

Katanya, gejala keracunan metanol adalah seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala dan kabur penglihatan dalam tempoh lima hari pengambilan minuman beralkohol.

Sehubungan dengan itu, Dr Noor Hisham menasihatkan kepada orang awam untuk segera membawa mana-mana individu yang mempunyai gejala keracunan metanol ke mana-mana klinik atau hospital yang terdekat bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“KKM ingin menasihati pengguna untuk tidak meminum sebarang minuman beralkohol yang dikhuatiri tercemar dengan metanol. 

“Pengguna hendaklah memastikan minuman yang dibeli mempunyai label yang mengandungi maklumat mengenai pengeluar, pengedar atau pengimport dan juga ramuan minuman beralkohol tersebut.

“Pengguna juga perlu mengelakkan daripada mengambil minuman beralkohol yang dihasilkan sendiri (home-brewed) dan yang dijual dengan harga yang murah atau yang meragukan. Sebaik-baiknya, masyarakat adalah disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat tanpa alkohol, “katanya.

Menurut beliau, mana-mana individu yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983.

“Pihak KKM bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memandang serius akan kejadian ini.

“Agensi yang berkaitan akan sentiasa memantau dan memastikan tiada aktiviti import eksport barangan kawalan atau penjualan atau pengedaran minuman beralkohol yang dicemari dengan metanol dalam usaha mengawal penularan kejadian keracunan ini, selain bagi memastikan juga premis jualan tersebut mempunyai lesen perniagaan yang sah.

“Sebarang aduan atau pelaporan berkenaan aktiviti pembuatan, penjualan atau pengedaran produk minuman beralkohol secara haram atau tidak berkastam (belum lulus kastam) boleh dilaporkan kepada talian Aduan Penyeludupan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di talian 1800-88-8855 atau boleh diadukan kepada Polis Diraja Malaysia di talian 03- 22663333/3451/3444, “katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan