27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Sarawak, Selangor, Johor kekal empat digit

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Tiga negeri masih kekal merekodkan empat digit kes harian dengan keseluruhan kes harian negara dilaporkan sebanyak 11,889 kes hari ini.

Negeri berkenaan terdiri, Sarawak dengan 2,413 kes, Selangor (1,568 kes) dan Johor (1,217 kes).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, negeri-negeri lain seperti Perak merekodkan sebanyak 959 kes diikuti, Sabah (872 kes), Kelantan (858 kes), Pahang (831 kes) dan Pulau Pinang (779 kes).

“Lain-lain, Kedah (710 kes), Terengganu (699 kes), Melaka (378 kes), Kuala Lumpur (289 kes) dan Negeri Sembilan (197 kes). 

“Perlis (81 kes), Putrajaya (36 kes) dan Labuan (dua kes),”katanya menerusi hantaran Facebook beliau di sini hari ini.

Sehingga kini, jumlah kes keseluruhan COVID-19 mencecah 2,257,584 kes.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 904 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 492 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada jumlah kes harian yang dilaporkan, 179 kes (1.5 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima serta 11,710 kes (98.5 peratus) kategori satu dan dua,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini.

Menurut beliau, terdapat 14 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada tujuh kluster tempat kerja, enam kluster komuniti dan satu kluster keagamaan dilaporkan di Selangor, Johor, Kedah, Perak, Kelantan dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik COVID -19 dengan mengamalkan perkara-perkara seperti mendaftarkan diri dan keluarga bagi mendapatkan vaksinasi.

“Vaksinasi lengkap antara langkah utama perlu dicapai seluruh penduduk Malaysia agar kita dapat bersama-sama mengurangkan risiko penularan dan jangkitan COVID -19 serta risiko komplikasi serius atau kematian akibat Covid-19.

“Selain itu, kepatuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP), pemerkasaan individu, keluarga dan masyarakat dalam mengambil tanggungjawab membawa negara keluar daripada pandemik ini serta memperkukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri.

“Jalani ujian saringan kendiri COVID-19 sekiranya bergejala. Jika disahkan positif, lakukan tindakan bertanggungjawab dengan mengasingkan diri.

“Kita adalah barisan hadapan untuk melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID -19,” tegasnya.

Beliau turut mengulas berhubung Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersetuju setiap kemudahan diumumkan sebelum ini dilaksanakan dengan syarat vaksinasi lengkap kekal bagi semua fasa pelan pemulihan negara.

“Bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang disahkan oleh Pegawai Perubatan.

“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira aspek keselamatan rakyat di samping melancarkan pembukaan semula ekonomi dan sosial serta memulakan proses peralihan ke fasa endemik dengan selamat.

“Peralihan fasa ini perlu dilaksanakan dengan pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan