32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Video tular bukan kes dera, tapi tertekan nak balik negara asal

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Video tular yang didakwa sebelum ini sebagai kes dera di sebuah kondominium di Taman Ayer Panas, Kuala Lumpur pada Khamis lalu rupa-rupanya insiden lain yang sama sekali tiada unsur penderaan.

Sebelum ini tular di aplikasi TikTok menyatakan seorang wanita warga Indonesia didera majikannya di kondominium berkenaan.

Bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, polis telah menjalankan siasatan setelah mengesan sebuah video tular di media sosial Facebook berdurasi satu minit 10 saat yang memaparkan seorang wanita berada dalam ketakutan.

“Menerusi penelitian ke atas video yang diperolehi, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dan Balai Polis Setapak telah pergi ke kondominium berkenaan untuk mendapatkan maklumat kejadian.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi di tempat kejadian dan keterangan saksi, kejadian berlaku pada Khamis lalu kira-kira pukul 10 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashari berkata, hasil keterangan saksi mendapati tiada unsur penderaan yang berlaku terhadap mangsa sebaliknya wanita warga Indonesia itu dipercayai mengalami tekanan perasaan kerana hendak balik ke negara asal.

Menurutnya, mangsa telah berjaya dipujuk oleh rakannya dan ditenangkan.

“Salah seorang kenalan mangsa juga telah membuat laporan polis bagi menafikan berlakunya kejadian dera ke atas mangsa.

“Setakat ini, semakan mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mangsa, individu lain dan pihak kedutaan indonesia berhubung kejadian ini,” katanya.

Sehubungan itu, Ashari berharap supaya spekulasi berlaku kejadian dera ke atas mangsa tidak ditularkan kerana berita yang tidak tepat boleh mendatangkan keresahan dan kerisauan kepada masyarakat.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan