30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

67 kematian kanak-kanak, kes sembuh atasi kes harian

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sebanyak 67 kematian COVID-19 dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak sepanjang tahun ini sehingga kelmarin, berbanding enam kematian direkodkan pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, statistik kematian tersebut adalah membimbangkan selain trend peningkatan jangkitan COVID -19 dalam kalangan golongan itu (berusia 0 hingga 18 tahun) di Malaysia.

“Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan supaya 60 peratus daripada kanak-kanak remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.

“Manakala 80 peratus daripada mereka yang layak divaksinasi mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kelulusan bersyarat kepada semua kanak-kanak remaja yang telah mencapai umur 12 tahun dan ke atas untuk divaksinasi, telah diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan untuk mendaftarkan anak-anak mereka yang layak menerusi institusi-institusi pendidikan masing-masing dan melalui aplikasi MySejahtera dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata, institusi-institusi pendidikan, perlindungan, pemulihan dan tahanan dikehendaki mendaftar institusi masing-masing melalui portal vaksinanakku.herokuapp.com.

“Ini bagi membolehkan penjadualan vaksinasi dibuat untuk kanak-kanak yang berada di institusi masing-masing oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

“Untuk kanak-kanak di luar institusi, pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera adalah diperlukan.

“Seperti ubat-ubatan lain, vaksin COVID -19 juga mempunyai kesan sampingan yang pada kebiasaannya adalah ringan dan pulih dalam masa singkat.

“Bagaimanapun, KKM menegaskan faedah mengambil vaksin jauh lebih bermanfaat berbanding kemudaratan akibat jangkitan COVID -19 tersebut,”katanya.

Tambah beliau, kejayaan negara dalam memerangi pandemik COVID -19 bergantung bukan sahaja kepada usaha dan strategi kerajaan semata-mata, namun ia juga memerlukan sokongan serta kerjasama padu daripada seluruh lapisan masyarakat.

Sementara itu, berhubung situasi kes COVID -19 Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh merekodkan sebanyak 16,814 kes sekali gus kekal mengatasi kes harian negara yang mencatatkan sebanyak 14,345 kes.

“Daripada jumlah kes baharu harian tersebut, 43 daripadanya kes import.

“Sementara itu, sebanyak 1,167 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi manakala, 636 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada 14,345 kes yang dilaporkan, sebanyak 212 kes (1.5 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala, 14,133 kes (98.5 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi, terdapat 23 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 13 kluster tempat kerja, lapan kluster komuniti serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan kluster import. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan