34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

MPN perlu seragamkan keputusan, usaha pulihkan ekonomi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Muhyiddin Yassin perlu memberi tumpuan khusus dalam menyeragamkan segala keputusan dalam usaha memulihkan ekonomi negara secara keseluruhan tanpa adanya keputusan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat.

Presiden Persatuan Anak Melayu Johor, Datuk Syed Hussien Al Habshee berkata, sebagai contoh, ketika ini kerajaan sedang dalam peringkat perancangan  melihat hasil projek perintis ke atas Pulau Langkawi, dengan melaksanakan gelembung pelancongan dalam usaha menarik kedatangan pengunjung di peringkat domestik tetapi, kebenaran rentas negeri masih belum dibenarkan lagi.

“Macam mana mahu memulihkan ekonomi dan sektor pelancongan jika usaha itu hanya boleh dinikmati oleh penduduk sekitar sahaja.

“Kemeriahan sesuatu lokasi peranginan itu hasil daripada kedatangan pengunjung luar daripada negeri tersebut. Mungkin perkara ini perlu diperhalusi semula.

SYED HUSSIEN AL HABSHEE

“Dalam masa sama, ia juga berkemungkinan akan mengundang masalah lain dengan tindakan individu dalam memanipulasikan permohonan pergerakan untuk ke lokasi peranginan itu tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun, katanya, pelantikan Tan Sri Muhyiddin untuk mengemudi MPN adalah bertepatan dan beliau boleh terus melaksanakan tugasan dan dasar-dasar yang direncanakan sebelum ini.

“Jika individu lain, mungkin barisan menteri tidak akan mendengar, tetapi Muhyiddin mampu untuk melaksanakannya atas pengalamannya sebagai mantan Perdana Menteri dalam mengurus krisis pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Syed Hussien turut berkongsi pandangan agar kerajaan dan MPN memulakan perbincangan dengan negara luar seperti Singapura dalam usaha melihat kaedah yang boleh digunapakai selain SOP, jika sempadan negara boleh dibuka kembali.

Sabtu lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Pengerusi MPN setelah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Keputusan itu dibuat jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September dan Pengerusi MPN itu bertaraf menteri.- Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan