25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Negeri kes tinggi diberi keutamaan, pemindahan aset dan tenaga

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PUTRAJAYA – Beberapa negeri yang berhadapan dengan kes penularan COVID-19 yang tinggi, akan terus diberi keutamaan dalam usaha memastikan penularan virus dapat dibendung secepat mungkin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya akan membawa fokus dan pendekatan yang sama dinegeri-negeri berkenaan sepertimana penubuhan pasukan ‘Greater Klang Valley Task Force’.

“Beberapa negeri yang berhadapan dengana penularan yang tinggi, kita akan memberi fokus utama dan dalam minggu akan datang, negeri seperti Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan bukan sahaja menerima bekalan vaksin lebih tetapi juga kita akan memulakan proses pemindahan tenaga kerja serta aset perubatan kepada negeri tersebut daripada negeri yang tidak lagi memerlukan aset tenaga kerja berlebihan.

“Ini adalah usaha dalam memastikan kes harian dan bilangan penduduk Malaysia yang terpaksa dimasukkan ke hospital dengan gejala serius serta kes kematian dapat dikurangkan,”katanya dalam sidang media KKM di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, selain itu ketetapan yang turut diketengahkan adalah dalam meningkatkan lagi ketelusan KKM dengan pemberian data dan maklumat tambahan kepada orang ramai.

“Kita akan mula keluarkan pelbagai data terperinci minggu hadapan, dan ia akan sediakan secara terbuka kepada semua untuk melihat lebih daripada data yang dibekalkan selama ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan KKM sebelum ini, kerana banyak data sudah mula disenaraikan secara terbuka, jadi saya buat ketetapan budaya kerja KKM selepas ini dengan lebih kepada ketelusan, soal kepercayaan kepada kerajaan dan respon KKM kepada pandemik ini, supaya tidak ada tuduhan kerahsiaan, ketiadaan tembok maklumat yang tidak dapat kita perolehi daripada kerajaan,”katanya.

Sementara itu, Khairy turut memaklumkan, ketetapan ketiga yang dibuat adalah usaha menerima bahawa COVID-19 ini adalah endemik.

“Maksudnya kita perlu menerima hakikat, sekalipun kita berjaya mengawal pandemik ini daripada kes jangkitan, kematian dan kemasukan ke hospital, kita perlu bersedia terima hakikat bahawa ia akan jadi endemik dan kita hidup bersama dengan virus ini,”katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, KKM juga konsisten dengan pendekatan negara lain iaitu apabila peralihan kepada fasa endemik, satu normal baharu diperkenal, dengan hidup secara sihat dan selamat walaupun virus ini ada dalam kalangan kita.

“Dengan vaksinasi dan usaha melakukan perubahan tingkah laku serta usaha mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) berterusan kita akan boleh memasuki ke fasa baharu endemik COVID-19.

“Dengan langkah ini seterusnya akan membolehkan sektor dibuka dan kehidupan kita juga akan kembali berfungsi seperti sedia kala dalam normal baharu,”katanya.

Di samping itu, Khairy juga dengan sukacita memaklumkan kerajaan akan mengumumkan langkah yang akan memudahkan SOP sedia ada supaya tidak terlalu banyak dan rumit, apabila masuk ke fasa endemik nanti.

“Ia sebagai persediaan endemik dan tindakan berikut perlu dilakukan seluruh masyarakat dengan mengamalkan normal baharu SOP yang akan dimudahkan nanti. Bila kita ada SOP yang jelas dan mudah difahami dapat sama-sama praktikkan.

“Selain itu juga, pematuhan dari segi pemakaian pelitup muka akan diteruskan. Malaysia akan terus amalkan pendekatan berhati-hati dengan kekal dengan pemakaian pelitup muka,”katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan