25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Peningkatan vaksinasi dorong pertumbuhan ekonomi

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Peningkatan vaksinasi dijangka menjadi faktor yang memudahkan pembukaan semula sebahagian besar sektor ekonomi pada suku keempat, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berdasarkan faktor tersebut, RAM Rating Services Bhd (RAM Rating) telah mengekalkan unjuran 2021 bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Selain itu, agensi penarafan itu menganggarkan pertumbuhan KDNK antara tujuh hingga lapan peratus bagi 2022, sementara pengeluaran secara keseluruhan bagi 2022 dijangka pulih melebihi paras yang dilihat pada 2019.

“Diandaikan kira-kira 4.8 hingga 5.8 peratus lebih tinggi. Ini berdasarkan pemulihan permintaan global berterusan terutamanya permintaan berlebihan untuk semikonduktor yang dijangka meningkatkan prestasi pengeluaran Malaysia tahun depan.

“Selain itu, pembukaan semula kebanyakan sektor ekonomi dan penggunaan kapasiti ganti domestik secara berperingkat yang akan meningkatkan pertumbuhan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-66 di sini hari ini.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata, aktiviti perniagaan negara juga dijangka meningkat sebanyak 54 peratus tahun ini walaupun wujud situasi tidak menentu dalam pasaran pekerjaan berikutan pandemik COVID-19.

Memetik laporan firma pengurusan sumber manusia, Hays, ini berikutan usaha syarikat-syarikat yang giat menggerakkan operasi mereka melalui teknologi digital.

Beliau berkata, ia seiring dengan usaha kerajaan mengukuh dan meningkatkan rangkaian telekomunikasi asas termasuk menyediakan peruntukan khusus sebanyak RM9.4 bilion dalam Belanjawan 2021 yang merangkumi sektor pendidikan, pekerjaan, dan transformasi digital.

“Rancangan infrastruktur digital nasional turut disokong oleh Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang juga telah memperuntukkan dana untuk meningkatkan kesalinghubungan digital sekolah-sekolah di seluruh negara.

“(Ia) sebagai usaha menyokong peralihan ke pembelajaran dalam talian, serta memberikan pengalaman jalur lebar yang lebih baik dan mempersiapkan negara untuk teknologi 5G,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan