KENAIKAN Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia kepada 5.1 peratus pada tahun 2024 merupakan satu pencapaian yang membanggakan, mengatasi jangkaan awal kerajaan dan menunjukkan bahawa ekonomi negara berada di landasan pemulihan yang kukuh.
Langkah-langkah strategik yang diambil kerajaan dalam memperkukuh ekonomi, meningkatkan pelaburan serta merangsang penggunaan domestik jelas memberikan kesan positif.
Ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi satu langkah penting dalam memastikan ekonomi negara berkembang secara mampan untuk manfaat jangka panjang rakyat.
Perkara itu dijelaskan Timbalan Dekan Penyelidikan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Datin Profesor Madya Azlin Ismail.
Menurut beliau, secara asasnya, KDNK dikira berdasarkan formula GDP = C + I + G + (X – M) (C = Perbelanjaan Pengguna, I = Pelaburan, G = Perbelanjaan Kerajaan, X – M = Eksport – Import)”
Beliau berkata, peningkatan KDNK pada tahun 2024 lebih banyak disumbangkan oleh perbelanjaan pengguna (C), pelaburan (I) dan perdagangan (X – M) manakala perbelanjaan kerajaan (G) pula sedikit menurun.
“Secara keseluruhannya, ini adalah perkembangan baik kerana menunjukkan sektor swasta dan perdagangan semakin berkembang namun kenaikannya adalah sedikit sahaja,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Menurut Azlin, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan itu adalah peningkatan perbelanjaan pengguna, pelaburan yang lebih tinggi, serta pertumbuhan dalam sektor perdagangan luar negara.
Katanya, walaupun perbelanjaan kerajaan sedikit berkurangan, ekonomi negara masih berkembang dengan baik, membuktikan bahawa sektor swasta dan perindustrian semakin kukuh.
“Ini adalah satu petanda positif kerana ia menunjukkan kestabilan ekonomi yang tidak hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata, tetapi juga dipacu oleh keyakinan pelabur dan daya tahan industri tempatan.
“Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kesan kenaikan KDNK terhadap kesejahteraan rakyat, kerajaan sedar akan cabaran ini dan telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara langsung,” kata beliau.
Sebagai contoh, beliau berkata, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 bukan sahaja membantu pekerja berpendapatan rendah tetapi turut mendorong peningkatan gaji secara keseluruhan.
Katanya, ini secara tidak langsung meningkatkan kuasa beli rakyat, yang seterusnya merangsang aktiviti ekonomi negara.
Bagaimanapun, jelas beliau, kerajaan juga memahami bahawa peningkatan pendapatan boleh menyebabkan inflasi, oleh itu Bank Negara Malaysia sentiasa bersiap sedia dalam mengawal kadar faedah untuk memastikan kestabilan harga.
Kerajaan, katanya, turut menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi yang mampan bukan hanya tertumpu pada peningkatan KDNK semata-mata, tetapi juga melalui penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh.
“Salah satu langkah penting yang sedang diambil adalah memfokuskan pembangunan infrastruktur dan menyelesaikan isu-isu asas yang telah lama membelenggu rakyat,” kata beliau.
Projek penyelesaian masalah air dan banjir di Kelantan, misalnya, merupakan satu langkah strategik untuk memastikan rakyat dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Begitu juga dengan langkah menghapuskan monopoli perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang sebelum ini memberi kesan kepada kos pengguna.

Jelas beliau, keputusan kerajaan mempercepatkan pembayaran hutang konsesi lebuh raya bagi membolehkan kadar tol dimansuhkan dalam jangka panjang juga adalah bukti bahawa kerajaan mengambil pendekatan yang lebih berkesan dalam mengurangkan beban rakyat.
Bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang dalam keadaan global yang semakin mencabar, kerajaan juga sedang berusaha memperluaskan pasaran eksport Malaysia.
Azlin berkata, dengan ketegangan perdagangan antara negara besar seperti Amerika Syarikat dan China yang berpotensi memberi kesan kepada sektor eksport tempatan, kerajaan sedang mencari pasaran alternatif dan memberikan sokongan kepada industri yang ingin menembusi pasaran baharu.
“Ini bukan sahaja mengukuhkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa, tetapi juga memastikan peluang pekerjaan terus meningkat untuk rakyat,” katanya.
Dengan pendekatan yang menekankan penyelesaian jangka panjang, rakyat boleh berasa lebih yakin bahawa Malaysia sedang menuju ke arah ekonomi yang lebih stabil dan makmur.
Langkah-langkah ini membuktikan bahawa kerajaan bukan sekadar memberi bantuan sementara, tetapi membina asas ekonomi yang kukuh agar kesejahteraan rakyat dapat dijamin untuk masa hadapan.
Bagaimanapun, Azlin mengingatkan bahawa tahun 2025 akan menjadi lebih mencabar atas pelbagai faktor.
“Banyak insentif dan program rangsangan kerajaan pada 2024 mungkin tidak diteruskan, yang boleh mengurangkan daya beli rakyat dan aktiviti perniagaan. Ketegangan ekonomi antara negara besar seperti Amerika Syarikat dan China boleh memberi kesan negatif kepada eksport Malaysia.
“Malaysia perlu mencari pasaran baru untuk eksport, yang mungkin memerlukan kerajaan membantu industri dengan insentif dan rundingan antara kerajaan (G-to-G),” katanya.
Azlin menjelaskan salah satu isu utama yang dibangkitkan ialah mengapa rakyat masih terasa susah walaupun ekonomi mencatat pertumbuhan.
“Walaupun inflasi turun kepada 1.8 peratus pada 2024, rakyat masih merasakan harga barang tetap mahal. Ini kerana pengiraan inflasi mungkin tidak mengambil kira sepenuhnya barang keperluan utama yang sering dibeli oleh rakyat,” jelas beliau.
Katanya kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 walaupun ini memberi kesan positif kepada golongan pekerja berpendapatan rendah namun ia juga mendorong kenaikan harga barang kerana peniaga mungkin mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.
Oleh itu, katanya, Bank Negara perlu mengawal inflasi melalui kadar faedah, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya.
Tambah beliau lagi, apabila gaji minimum naik maka gaji di peringkat lain juga perlu disesuaikan agar tidak terlalu jauh jurangnya.
Ini katanya, menyebabkan lebih ramai rakyat mempunyai pendapatan lebih tinggi, yang seterusnya meningkatkan perbelanjaan pengguna dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi (KDNK).
“Namun, kesan ini tidak akan berpanjangan kerana gaji minimum dijangka tidak akan dinaikkan lagi dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang.
“Dengan ketidaktentuan ekonomi global, rakyat perlu lebih berhati-hati dalam berbelanja dan cuba menabung untuk masa depan,” katanya. – Edisi 9

