26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

3.1 juta penerima BPR manfaatkan Program Jaringan Prihatin

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PUTRAJAYA – Sebanyak RM412.6 juta subsidi telah dimanfaatkan oleh 3.1 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) di bawah Program Jaringan Prihatin setakat 20 Ogos lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, subsidi tersebut disalur kepada penerima BPR melalui langganan pelan data atau pakej peranti yang ditawarkan syarikat-syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian.

“Pelan komunikasi dan pakej peranti yang ditawarkan telah
disubsidi bersama oleh kerajaan dan syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian dalam program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-66 di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Program Jaringan Prihatin diumumkan dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan asal RM1.5 bilion untuk
membantu golongan B40 terutamanya BPR itu akan dilanjutkan sehingga 30 September ini.

Ia bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini.

“Setelah kerajaan menilai semula jumlah keluarga B40 yang mempunyai anak, terutamanya yang bersekolah, RM500 juta telah ditambah di bawah pakej bantuan PEMERKASA yang diumumkan Mac lalu, menjadikan nilai program ini RM2.0 bilion.

“Selain itu, syarikat-syarikat telekomunikasi juga akan menawarkan faedah tambahan terutamanya data tambahan percuma bernilai RM1.5 bilion.

“Ini menjadikan faedah keseluruhan program ini berjumlah RM3.5 bilion kepada penerima-penerima BPR,” kata beliau.

Tengku Zafrul berkata, semua warganegara Malaysia yang layak menerima BPR juga layak menyertai program Jaringan Prihatin dan mendapat subsidi pelan data bulanan ataupun subsidi pembelian pakej peranti mudah alih.

Katanya, penerima BPR (berkahwin atau ibu/bapa tunggal) yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun ditawarkan subsidi RM300 (diberikan secara penuh) untuk pakej peranti atau RM15 sebulan untuk rancangan data bulanan selama 12 bulan.

“Bagi penerima BPR (bujang atau berkahwin) yang tidak mempunyai anak di bawah umur 18 tahun pula, mereka ditawarkan subsidi berjumlah RM180 (diberikan secara penuh) untuk pakej peranti atau RM15 bulan sebulan untuk rancangan data bulanan selama 12 bulan,” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan