27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

MoU dwi-partisan libatkan enam persefahaman – PM

Sejarah tercipta apabila buat pertama kali kerajaan dan pembangkang mengadakan perjanjian kerjasama

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang mewakili pembangkang hari ini memeterai perjanjian kerjasama, iaitu yang pertama kali berlaku dalam sejarah politik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak enam MoU transformasi dan kestabilan politik yang dimaktubkan di bawah kerjasama dwi-partisan ini.

Enam perkara tersebut ialah pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, perjanjian Malaysia MA63 dan pembentukan jawatankuasa Pemandu.

Menurut Perdana Menteri, langkah yang diperkenalkan kerajaan itu bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

Bahkan, kata beliau, ia mampu memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Kerajaan yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam kenyataan sempena majlis menandatangani MoU itu yang berlangsung di Bangunan Parlimen.

Pada majlis itu, Ismail Sabri mewakili pihak kerajaan manakala PH pula diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan  Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim serta hampir semua ahli-ahli Parlimen kedua-dua pihak turut hadir.

Ismail Sabri berkata, MoU itu bertujuan membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Ia selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-4 hari ini.

“Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini,” kata beliau.

Kerjasama rentas parti ini pernah ditawarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos lalu yang dinamakan ‘kerjasama bi-partisan’ tetapi ditolak oleh pihak pembangkang.

Malah Muhyiddin dituduh cuba menyogok pembangkang konon untuk membolehkan beliau kekal sebagai Perdana Menteri dan mengetuai kerajaan.

Ini berikutan tindakan 15 Ahli Parlimen UMNO yang menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan