MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu.
Ini susulan kenyataan Andansura semalam yang cuba menimbulkan persepsi mengenai perjanjian jual beli tanah antara Pasdec Holdings Berhad (PASDEC) dengan Petroluxe Refinery (M) Sdn. Bhd. (Petroluxe) pada 13 November lalu.
Wan Rosdy berkata, beliau telah meminta Penasihat Undang-undang Negeri untuk meneliti dan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau sekiranya terdapat sebarang unsur fitnah, menghasut serta menimbulkan sangkaan jahat terhadap Kerajaan Negeri.
Menjelaskan isu perjanjian jual beli tanah seluas 23.96 hektar di Gebeng, Kuantan itu, Menteri Besar berkata, tanah tersebut adalah tanah pajakan 99 tahun (leasehold) untuk kegunaan industri.
“Petroluxe akan membangunkan sebuah kompleks bersepadu loji penapisan minyak dan petrokimia yang melibatkan pelaburan berjumlah kira-kira RM3 billion.
“Sebagai pelabur yang akan melaburkan sejumlah wang yang besar untuk mendirikan loji berkapasiti tinggi di atas tanah tersebut, Petroluxe semestinya memerlukan jaminan bahawa pihaknya boleh menggunapakai tapak loji penapisan tersebut secara berterusan iaitu dengan membeli tanah tanpa perlu menyewa untuk jangkamasa yang terhad,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Wan Rosdy berkata, menerusi perjanjian itu, Pasdec akan memperoleh sekitar 2 peratus ekuiti dalam syarikat usahasama tersebut dan adalah tidak munasabah sekiranya Pasdec mempermodalkan tanah tersebut.
Katanya, melalui hasil jualan tanah tersebut, Pasdec boleh mempercepatkan pembinaan projek-projek perumahan dan komersil yang sudah dalam perancangan yang mana akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Pahang memiliki kediaman selesa pada harga yang berpatutan.
Mengenai menjelaskan Sultan Pahang, Wan Rosdy menjelaskan, baginda hanyalah menyaksikan sahaja majlis menandatangani perjanjian tersebut.
“Oleh yang demikian, saya berharap agar rakyat tidak terkeliru dengan permainan persepsi yang cuba ditimbulkan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang seolah-olah Pasdec dengan sewenang-wenangnya menjual tanah kepada pihak luar tanpa ada perancangan jangka masa panjang,” katanya.
Semalam, Andansura dilapor mendesak Kerajaan Pahang dan Pasdec untuk membuat pendedahan secara terperinci mengenai transaksi penjualan tanah di Gebeng kepada sebuah syarikat China.
Beliau berkata, pendedahan perlu dibuat bagi menjawab pertanyaan rakyat yang ingin mengetahui status pemilikan tanah tersebut. — Edisi 9