PEMAIN tonggak negara, Arif Aiman Hanafi dipanggil pulang oleh kelab mereka Johor Darul Ta’zim (JDT), sekali gus tidak bersama skuad Harimau Malaya ke Hyderabad bagi aksi antarabangsa Tier 1 kedua menentang India, Isnin ini.
Turut dipanggil pulang dua pemain pertahanan, Matthew Davis dan Feroz Baharudin manakala penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dikecualikan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, JDT memohon agar tiga pemain tersebut dilepaskan pulang ke tanah air memandangkan kelab itu bakal berdepan KL Rovers dalam perlawanan pertama Pusingan 16, Piala Malaysia pada 20 November.
“Permohonan dibuat JDT itu selepas mengambil kira skuad Harimau Malaya akan tiba di tanah air pada pagi Rabu selepas aksi menentang India, sekali gus tidak sempat bagi ketiga-tiga pemain berkenaan pulang ke pangkuan kelab mereka itu,” kata FAM dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan ketiadaan tiga pemain tersebut, hanya 23 pemain yang dibawa Paul Marti ke Hyderabad yang dijangka berlepas dari Bangkok, malam ini.
Malam semalam, Harimau Malaya berjaya menumpaskan pasukan kebangsaan Laos 3-1 dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 pertama di Stadium Port Authority Thailand, Bangkok.
Tiga jaringan Harimau Malaya itu diperoleh hasil tandukan Harith Haiqal dan dua sepakan penalti menerusi Stuart Wilkins dan Sergio Aguero. – Edisi 9