34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Kerajaan, pembangkang jalin kerjasama secara ‘dwi-partisan’

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kerajaan dan pembangkang bersetuju menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia, esok.

Wakil kerajaan dan parti Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan bersama berkata, setelah mengadakan beberapa pusingan rundingan, wakil-wakil pihak kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini telah memuktamadkan sebuah memorandum persefahaman dan dijadual menandatangani MoU terbabit pada pukul 5 petang esok.

“Semua pihak telah bersetuju bahawa memorandum persefahaman ini adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara “dwi-partisan“,” katanya.

Perjanjian itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua PH iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Jelas kenyataan itu lagi, dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi parlimen.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban,” katanya.

Kenyataan bersama itu melibatkan wakil kerajaan antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Manakala wakil PH pula melibatkan antaranya Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.-Edisi 9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan