25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Majlis Pemulihan Negeri dipengerusi oleh MB, KM – Muhyiddin

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Majlis Pemulihan Negeri yang penubuhannya diluluskan hari ini akan dipengerusikan oleh menteri besar (MB) dan ketua menteri (KM) negeri masing-masing.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majlis itu berperanan memastikan keputusan MPN dilaksanakan di peringkat negeri.

Selain itu, majlis itu juga memperaku strategi dan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah, dan memantau impak pelaksanaan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah.

“Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah sedia ada akan bertindak sebagai mekanisme pelaksanaan dan pemantauan inisiatif pemulihan negara di peringkat daerah.

“Cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri dan mekanisme yang berkaitan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat MPN kali pertama sejak dilantik ke jawatan itu, di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, bagi melangkah ke hadapan, MPN akan menumpukan kepada pemulihan negara secara menyeluruh melibatkan pelbagai sektor dan kumpulan terkesan.

Kata beliau, antaranya adalah sektor-sektor yang perlu diberikan keutamaan dalam proses pemulihan, terutamanya aktiviti ekonomi yang paling memberikan sumbangan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sektor yang paling banyak menyediakan pekerjaan dan sektor yang paling terjejas akibat penularan COVID-19.

Selain itu, tumpuan juga diberi kepada bantuan yang boleh disediakan kepada perniagaan, usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk bangkit dan meneruskan perniagaan;

Masalah kemiskinan pasca pandemik dalam kalangan penduduk bandar dan luar bandar serta kumpulan rentan dan bentuk bantuan yang boleh disediakan turut diberi penekanan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan terkini kes-kes COVID-19 dan kadar penggunaan katil wad ICU yang telah menunjukkan penurunan sepertimana dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Begitu juga dengan ketersediaan vaksin yang mencukupi untuk tujuan suntikan ‘booster dose’ (dos penggalak) bagi semua penduduk dewasa di negara ini hasil daripada keputusan yang telah dibuat sebelum ini untuk menempah sejumlah vaksin yang lebih daripada mencukupi bagi keperluan penduduk negara kita,” katanya.

Katanya, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai pembukaan institusi pengajian tinggi (IPT) secara berperingkat bermula pada 15 Oktober.

Selain itu, pembukaan sekolah secara berperingkat bermula pada 3 Oktober serta SOP yang akan berkuatkuasa demi melindungi warga IPT dan warga sekolah dari jangkitan COVID-19 juga dibentangkan. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan