24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Majlis Khas MA63 yang dirintis Muhyiddin perlu disambung – Hajiji

Mesti Baca

CYBERJAYA – Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dirintis oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu disambung semula, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menggunakan Majlis Khas MA63 itu sebagai platform untuk meneruskan segera siri rundingan antara kerajaan dan kerajaan negeri Sabah serta Sarawak.

Ini kerana, menurut beliau, sudah banyak kemajuan awal yang dicapai menerusi rundingan dalam majlis khas tersebut sebelum ini.

“Kita berkeyakinan tinggi di bawah kebijaksanaan kepimpinan perdana menteri, kita akan dapat bersama-sama membawa nilai dan makna lebih besar berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ merentasi wilayah.

“Kita berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang disepakati para pelopor awal tanah air di bawah MA63,” katanya seperti dilapor Bernama, ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini malam tadi.

Hajiji turut menegaskan bahawa selaku ketua kerajaan kepada rakyat dan negeri Sabah, suara rakyat yang mengutarakan hak-hak negeri sebenarnya bukan hanya berkisar mengenai kepentingan negeri semata-mata.

Advertisements

Beliau berkata keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan Sabah kepada Persekutuan Malaysia.

“Setelah 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan Sabah diberikan pengiktirafan lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan membina negara jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa,” katanya.

Hajiji juga berkata kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat menghargai komitmen meletakkan MA63 sebagai antara teras utama dalam kerjasama dwipartisan melalui memorandum persefahaman (MoU) di peringkat persekutuan.

Katanya komitmen GRS ialah menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 29 Mac lepas bagi menunaikan mandat rakyat apatah lagi di kala negara berdepan kemelut kesihatan awam luar biasa akibat pandemik Covid-19.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus bersatu atas semangat Keluarga Malaysia selain menaruh keyakinan bahawa di bawah kepimpinan perdana menteri, negeri itu akan menikmati lebih banyak pembangunan di semua peringkat.

“Keluarga Malaysia merupakan satu konsep kenegaraan yang begitu utuh dan berupaya menyimpulkan ikatan akrab sekalian rakyat jelata berbilang kaum, agama dan budaya. Hakikatnya, pendekatan Keluarga Malaysia amat relevan dengan kami di Negeri Di Bawah Bayu ini,” katanya.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan