28.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Harta RM1.6 juta milik penguasa kanan SPRM disita

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita sebuah rumah dan beberapa kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.6 juta milik tiga pegawai yang dikaitkan dengan kehilangan barang kes wang tunai berjumlah RM25 juta.

Mingguan Malaysia yang memetik sumber melaporkan, antara harta yang disita ialah sebuah rumah di Selangor, dua motosikal jenis Ducati dan masing-masing sebuah kereta Mercedes Benz dan Honda Type R.

Rumah dan kenderaan tersebut dipercayai milik pegawai SPRM berpangkat penguasa kanan gred 44 berusia 40 tahun.

Penyitaan dilakukan susulan siasatan terhadap penguasa kanan berkenaan bersama dua lagi pegawainya berpangkat penguasa dan ketua penolong penguasa kanan.

“SPRM sedang melakukan dokumentasi untuk mengetahui ‘asal-usul’ pemilikan semua harta itu memandangkan penguasa kanan terbabit dikesan hidup mewah melebihi gaji yang sepatutnya.

“Siasatan kini tertumpu kepada penguasa kanan berkenaan kerana dia antara individu yang bertanggungjawab menyimpan ex­hibits sesuatu kes yang disiasat,” katanya.

SPRM turut memperincikan siasatan bagi melihat rekod pemilikan wang, harta benda membabitkan dua lagi pegawai yang ditahan, kata sumber itu.

Sumber itu turut memaklumkan penguasa kanan berkenaan juga disyaki terlibat dalam beberapa pelaburan dan pembelian hartanah, namun setakat ini pasukan penyiasat sedang mengumpul bukti mengenai aktiviti terbabit.

Advertisements

Seorang lagi sumber yang dekat dengan perkara itu berkata, hasil pemeriksaan penguasa kanan berkenaan didapati menyimpan 400 butir peluru bersaiz 9 mm (milimeter) beserta tiga kelongsong peluru bersaiz 9mm serta sepucuk pistol tiruan.

Malah, pemeriksaan lanjut di rumah pegawai itu turut menemui sepucuk senapang jenis ‘pump gun’ jenama Benelli Armi selain 200 butir lagi peluru jenis 9mm, alat pembuka senjata serta senaskah buku manual penggunaan senjata.

“Semakan lanjut, penguasa kanan berkenaan mempunyai lesen senjata api membabitkan satu jenama lain yang dikeluarkan oleh Bahagian Pelesenan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

“Berdasarkan lesen penggunaan senjata api, pegawai berkenaan hanya dibenarkan untuk memiliki 100 butir peluru sahaja,” dedah sumber itu.

Difahamkan, satu sidang akhbar khas antara SPRM dan polis akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendedahkan hasil siasatan berhubung kes kecurian wang tunai RM25 juta yang hilang daripada kawalan SPRM.

Kontroversi salah guna kuasa tiga pegawai itu tercetus susulan wang sejumlah RM25 juta milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid yang disita SPRM tiga tahun lalu didakwa hilang.

Hasanah sebelum itu didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang kerajaan bernilai sekitar RM50 juta namun pada April lalu dia dilepas tanpa dibebaskan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Pemain muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan