28.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Berlaku peningkatan mendadak kluster komuniti di Sarawak

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan berlaku peningkatan mendadak bagi kategori kluster komuniti di Sarawak sejak bulan lalu terutamanya yang melibatkan komuniti rumah panjang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehubungan itu, KKM dan Kerajaan Negeri Sarawak akan bekerjasama memperkasa komuniti melalui program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) terutamanya di rumah-rumah panjang.

Beliau berkata, program ini bertujuan membudayakan norma baharu, kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), isolasi kendiri dan pemantauan kesihatan kendiri serta pemerkasaan tingkah laku kesihatan (health seeking behaviour).

Menurutnya, keupayaan menangani pandemik COVID-19 adalah tanggungjawab bersama semua pihak.

“KKM akan terus menerus memastikan intervensi kesihatan awam dan perawatan perubatan dapat dilaksanakan secara efektif demi kesejahteraan rakyat di negeri Sarawak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran yang sama, Noor Hisham berkata, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan pengurusan tertinggi KKM telah membuat lawatan kerja rasmi ke Sarawak hari ini.

Menurutnya, Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan bersama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut disertai secara maya oleh Residen-residen Bahagian dari seluruh negeri Sarawak.

Advertisements

“Antara tumpuan utama perbincangan termasuk mobilisasi sumber manusia secara dalaman dan luaran, meningkatkan kapasiti hospital dan katil bagi rawatan COVID-19, mengurangkan kes kematian COVID-19 serta menjalankan ujian pengesanan COVID-19 termasuk RTK Antigen dan terus mengisolasi kes sekiranya didapati positif.

Selain itu menurutnya, perbincangan juga membabitkan perluasan Virtual COVID-19 Assessment Centre (VCAC) dan Digital Home Surveillance Order (HSO), meningkatkan liputan vaksinasi COVID-19 bagi keseluruhan populasi negeri Sarawak termasuk untuk golongan remaja, serta pengenalpastian golongan berisiko yang akan diberi keutamaan bagi dos vaksin penggalak (booster dose).

Untuk rekod, sehingga semalam, terdapat satu kluster baharu di Sarawak iaitu Kluster Julin Dabai, Marudi membabitkan penduduk di sebuah rumah panjang di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di mana 84 orang telah disaring.

70 individu telah dikenal pasti positif Covid-19.

Terdapat 127 kluster yang masih aktif di negeri Sarawak sehingga semalam.

Sarawak kekal sebagai negeri tertinggi kes harian Covid-19 semalam dengan catatan sebanyak 2,712 kes.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Pemain muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan