29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Edu-Forest UPSI tarikan terbaharu Tanjung Malim

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Edu-Forest Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menjadi tarikan baharu di Tanjung Malim sebagai lokasi menarik melakukan aktiviti pendidikan, kajian dan rekreasi berasaskan keindahan alam semula jadi.

Lokasi strategik Edu-Forest UPSI di sisi Banjaran Titiwangsa yang terbentang beberapa puncak gunung antaranya Gunung Liang, Gunung Sanggul, Gunung Kerjul, Gunung Tumang Batak, dan Chondong Geliting menjadi potensi peminat dan pencinta alam.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Puan Sri Rohani Parkash Abdullah semasa berucap selepas merasmikan Edu-Forest UPSI berkata menyatakan rasa bangga atas idea dan usaha murni berkenaan.

“Malah inisiatif itu akan menjadi pencetus dan jalan rintis dalam mempergiatkan lagi UPSI sebagai Universiti Nombor Satu Pendidikan di negara ini.

“Usaha UPSI selaras dengan hasrat kerajaan melestarikan hutan simpan untuk manfaat secara bersama khusus buat komuniti atas prinsip Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rohani berkata, pemilihan kawasan bagi Edu-Forest sangat strategik berikutan lokasi Hutan Simpan Behrang itu sendiri terletak berhampiran dengan Kampus Utama UPSI serta kaya dengan sumber dan khazahan alam yang belum terusik dan tercemar.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md.Taff berkata, stesen UPSI Edu-Forest yang berkeluasan 25 ekar itu mendapat kebenaran tempoh lesen penggunaan selama 30 tahun bermula 14 Mei 2019 daripada Jabatan Hutan Negeri Perak.

“Saya berharap ia menjadi tarikan baru kepada warga UPSI, komuniti sekitar Muallim, penggiat rekreasi, penyelidik dan rakyat Malaysia serta antarabangsa untuk datang ke Tanjung Malim.

Menurutnya, tarikan terbaharu berkenaan akan menjadi destinasi eko-pelacongan yang berkonsepkan pendidikan unik seperti aktiviti pendidikan rekreasi luar dengan mengekalkan status Hutan Simpan Kekal sebagai langkah pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar sedia ada di Hutan Simpan Behrang.

“Di sekitar Edu-Forest UPSI, terdapat banyak air terjun seperti Lubuk Kawah, Lubuk Hantu, Air Terjun Strata, Lubuk Graha, Lata Berembun, Lata Rimau dan Lata Manik.

“Pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan seperti cabaran kayak arus deras, rakit arus deras dan juga ‘water tubing’,” katanya.

Dr Norkhalid sedang memberikan taklimat tentang Stesen Edu-Forest UPSI .

Manakala menurutnya, pengemar aktiviti lasak juga berpeluang untuk menyertai cabaran darat seperti basikal lasak, cabaran 4 x 4 serta marathon yang kerap dianjurkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris dan juga Majlis Daerah Tanjong Malim.

Bagi Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata penubuhan stesen berkenaan menjadikan UPSI sebagai universiti pendidikan pertama yang memiliki Makmal Hidup (Living Lab) untuk pelajar dari pelbagai pengkhususan seperti Biologi, Kimia Sebatian Semulajadi, Geografi, Sains Sukan, Sains Tanah, Muzik, Seni, Rekreasi, Psikologi dan lain-lain bidang disiplin ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menurutnya yang menggerakkan usaha itu berkata ia selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan yang telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1998, malah tahun 1992, Malaysia menandatangani Konvensyen Kepelbagian Biologi bersama-sama 154 buah negara lain di Rio “Earth Summit”.

Turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar dan Penolong Pegawai Hutan Daerah, Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan (Tapah), Mis Maizura Amat Kaulan.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan