28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ditangkap kurang sejam, Geng Latino tak sempat joli duit samun

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Dua lelaki dan dua perempuan dipercayai Geng Latino berjaya ditangkap polis kurang sejam dari menyamun di stesen Minyak Cheras Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Dalam kejadian berkenaan, wang samun bernilai sebanyak RM194,000 yang dilarikan suspek berjaya ditemui semula.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, kira-kira pukul 12 tengah hari, polis mendapat maklumat orang awam berlakunya kejadian samun di stesen minyak berkenaan.

“Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur telah mengerakkan operasi mengesan suspek. Kira-kira pukul 12.30 tengah hari, suspek telah berjaya dikesan di Jalan berhala, Brickfields, Kuala Lumpur.

“Polis telah menghalang laluan suspek, namun suspek bertindak merempuh kenderaan pasukan dan cuba melanggar pegawai serta anggota polis beberapa kali,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Jalil berkata, untuk keselamatan pasukan, beberapa das tembakan telah dilepaskan menyebabkan suspek yang memandu terkena tembakan di badan lalu kereta suspek berjaya dihentikan.

Menurutnya, suspek berada dalam keadaan stabil dan tangkapan telah dilakukan terhadap keempat-empat suspek warga asing yang berada di dalam kenderaan tersebut.

“Kewarganegaraan suspek masih dalam siasatan. Modus operandi kumpulan ini adalah mengekori mangsa yang mengeluarkan duit yang banyak di bank dan memancitkan tayar mangsa.

“Kemudian, mangsa yang memberhentikan kereta akan diperdaya dengan suspek yang menaburkan beberapa keping duit kertas RM10. Semasa mangsa leka mengutip duit tersebut, suspek akan membuka pintu kereta mangsa dan melarikan beg mangsa yang berisi duit.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan laporan polis oleh mangsa yang disamun disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan membawa rakan semasa mengeluarkan duit yang banyak di mana-mana bank.

“Malah, kita gesa orang awam tidak terpedaya dengan modus operandi sedemikian.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan