32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Aimee, wanita Melayu disunting 3 syarikat terkemuka dunia

Dari Amazon ke Google, kini wanita Melayu kelahiran Kuala Lumpur ini bernaung di bawah Netflix sebagai pengurus produksi di AS.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Bergelar sebagai sebahagian warga kerja organisasi besar terkenal dunia seperti Amazon, Google, atau Netflix merupakan sesuatu yang sangat berharga dan peluang yang diimpikan banyak pihak.

Namun, bagi bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Aimee Shahir, 34, peluang berkenaan bukanlah sesuatu yang mustahil apabila dia berjaya membuktikan dirinya yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur mampu terpilih sebagai Pengurus Produksi untuk Studio Inovasi di Netflix Inc.

Syarikat yang merupakan pemicu terbesar dalam pasaran berasaskan perkhidmatan penstriman (streaming services) media dan hiburan yang beribu pejabat di Los Gatos, California, Amerika Syarikat (AS) telah menyedari potensi anak Melayu ini untuk dijadikan sebagai kakitangan mereka sejak April lalu.

Memetik Warta MARA, di Netflix, Aimee mengambil pendekatan untuk sentiasa mendahulukan nilai kemanusiaan berbanding proses kerja serta kepentingan Netflix demi kejayaan organisasi itu.

Inspirasi yang dipinjam pakai dari CEO NeTflix, Reed Hastings melalui bukunya No Rules Rules menjadikan Aimee sentiasa teruja dengan cabaran perniagaan berbentuk striming, terutama bagaimana pembikinan dan penyediaan sesebuah bahan untuk filem.

Bahkan Aimee yang merupakan peminat dan aktivis konservasi hidupan laut serta pernah menyertai program konservasi penjagaan jerung putih di laut dalam di Afrika Selatan pada 2014 itu kini bersedia untuk terus mengorak langkah lebih jauh dengan jawatan baharunya di Netflix.

“Apa pun dan di mana pun kita berada, sentiasa semat dalam hati, kita tetap anak Malaysia,” tegas Aimee.

Aimee Shahir (kanan) bersama dua rakannya ketika dia menamatkan pengajian di University of Durham, UK pada tahun 2009. – Sumber: Facebook Aimee Shahir

Menurutnya, mungkin inilah pandangan jujur yang harus difikirkan semula oleh generasi muda di Malaysia jika mahu berjaya diperingkat global.

Aimee berkata, resipi utamanya berjaya di bumi asing dari negaranya sendiri ialah dia tidak melihat pada kegagalan atau meletak sesuatu itu sebagai kejayaan semata-mata.

“Ini semua sebagai satu proses pembelajaran untuk menuju sesuatu yang lebih hebat, seperti pepatah Inggeris, saya sentiasa anggap diri saya seperti drinking from the firehose.

“Saya cuba kekal optimis dalam menghadapi perubahan dan mempelajari untuk memanfaatkan sepenuhnya dengan semangat tidak cepat mengalah,” katanya.

Berkongsi kisah mengenai latar belakangnya, Aimee menyatakan dia memulakan kariernya di Petronas dengan jawatan terakhir sebagai eksekutif kanan dari 2009 hingga 2015 sejurus lulus dari University of Durham, UK di bawah tajaan Petronas dalam bidang ekonomi dengan kelas pertama. 

Menurutnya, dia juga pernah seorang pensyarah sambilan untuk persijilan Chartered Financial Analyst (CFA).

Seterusnya disebabkan kecemerlangan yang dimiliki, beliau menerima tawaran berkerja di Amazon Inc., iaitu sebuah syarikat teknologi antarabangsa berpengkalan di AS yang terlibat dalam pasaran e-dagang, pengkomputeran awan (cloud computing), penstriman digital (digital streaming) dan kecerdasan buatan (artificial intelligence).

Bahkan, Amazon yang tersenarai antara lima syarikat terbesar atau The Big Five di Amerika di dalam industri IT selain Google, Apple, Microsoft dan Facebook telah memberi kepercayaan kepada Aimee untuk menjawat jawatan sebagai salah seorang individual contributor (IC) pada 2017.

Jawatan terakhirnya dalam Amazon ialah sebagai seorang pengurus pada 2019 dengan mengetuai salah satu unit kejuruteran pengisian (‘software engineering’) di Amazon Prime Video.

Pengalaman dan kewibaanya membawa beliau lebih jauh kehadapan dengan tawaran baharu sebagai seorang Pengurus Produk di Google LLC sebuah syarikat gergasi yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

“Saya anggap ini sebagai salah satu titik tolak membina jati diri dan keyakinan dalam membina laluan kerjaya yang lebih mencabar kredibiliti dan kapasiti saya sebagai seorang anak melayu di bumi asing,” katanya.

“Di Google, saya perlu memperlengkapkan diri dengan kepakaran yang ada, lebih peka dan sentiasa bersikap terbuka dengan dunia tanpa sempadan di Google.

Menurutnya, sebagai seorang gadis Melayu Muslim, persekitaran suasana Islamophobia dan perkauman perlu ditangani dengan lebih berhati-hati dan secara intelektual.

Menurutnya, dua prinsip yang sentiasa dipegangnya adalah customer obsession atau obses kepada pelanggan.

“Prinsip ini memfokoskan idea baharu kepada keperluan pelanggan dan juga prinsip disagree and commit atau biarpun memiliki pendapat berbeza tetapi perlu tetap komited dalam memberi sokongan kepada kumpulan kerja.

“Saya bawa dua prinsip ini ketika melangkah ke Google dan perlu menampilkan sikap profesional yang tinggi dan sentiasa ambil tahu apa yang berlaku disekeliling supaya sebarang permasalahan dalaman tidak akan menjadi isu kelak,” katanya.

Menurutnya, selain itu, Aimee berkata, sikap orang timur yang ramah tamah dan sentiasa merendah diri tetapi kekal profesional dan beretika menjadi kunci kejayaannya dalam menangani kakitangan di bawahanya yang terdiri dari pelbagai bangsa terutamanya dari bangsa Amerika itu sendiri.

Berdasarkan pengalaman yang luas di Petronas dan Amazon telah membuatkan beliau mampu meraih kepercayaan di Google Payments serta berjaya melancarkan beberapa teknologi perisian yang diguna pakai oleh beberapa anak syarikat Google seperti Google Ads, Google Cloud, Playstore, Youtube dan sebagainya.

Kesungguhan ini terbukti dengan kejayaan beliau dinaikkan pangkat hanya dalam tempoh 18 bulan sahaja.

Bagaimanapun menurut Aimee, kejayaan berkenaan tidak menjadikan dia mendabik dada dan kunci kepada kejayaan tersebut semasa berada di Google ialah saling menghormati.

“Inilah prinsip yang perlu mereka pegang setiap hari, rasa hormat kepada pengguna (‘respect the user’), hormat dengan setiap rakan kerja (‘respect each other’) dan yang penting sekali, hormati setiap peluang dan tanggungjawab yang diberikan (‘respect the opportunity’).

Menurutnya, kekuatan prinsip berkerja yang diperoleh dari dua buah syarikat berkenaan memudahkannya membawa diri dengan tanggungjawab baharunya pula di Netflix kini.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan