36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Vaksinasi lengkap berjaya turunkan kes kritikal di 5 negeri

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Lima negeri mencatatkan penurunan kes kemasukan pesakit kategori 3 hingga 5 ke hospital susulan peningkatan vaksinasi lengkap dalam kalangan penduduk di negeri-negeri berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lima negeri terbabit ialah Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, sehingga kini jumlah populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas yang vaksinasi penuh di negeri-negeri terbabit telah melepasi 40 peratus.

Katanya, jumlah populasi dewasa yang menerima vaksin penuh di Kuala Lumpur telah mencapai 78.3 peratus, Putrajaya (69.3 peratus) Labuan (63.4 peratus), Sarawak (55.7 peratus) manakala Negeri Sembilan 40.1 peratus.

“Negeri-negeri lain pula belum menunjukkan trend penurunan kerana peratusan liputan dos lengkap masih kurang,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan semasa COVID-19 di sini hari ini.

Jelas Noor Hisham, trend penurunan itu turut dapat dilihat di Hospital Sungai Buloh selepas kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang untuk mempercepat vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa.

“Selepas pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, kita dapati pada minggu ke-30, kes kemasukan kategori 4 dan 5 ke hospital semakin menurun dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

“Selain itu, kita lihat kes kemasukan individu berusia antara 40 hingga 59 tahun dan 20 hingga 39 tahun juga ada penurunan. Ini menunjukkan kesan vaksinasi berjaya menurunkan kes ke hospital dan penggunaan katil-katil di ICU,” jelasnya.

Mengenai kebimbangan orang ramai terhadap varian Delta, Noor Hisham berkata, vaksin yang digunakan di negara ini berkesan terhadap varian tersebut.

Katanya, ini dibuktikan dengan kejayaan menurunkan bilangan kes kemasukan ke hospital dan kematian di Labuan serta Sarawak.

“Contohnya di Labuan, penularan adalah varian Delta (yang) kita telah kenal pasti melalui kematian dan sebagainya. Tetapi dengan menggunakan 90 peratus vaksin Pfizer dan 10 peratus Sinovac, kita dapat kawal dengan baik.

“Begitu juga di Sarawak, jangkitan juga dikenal pasti oleh UNIMAS(Universiti Malaysia Sarawak ) yang menjalankan jujukan genomik penuh mengesahkan ia varian Delta.

“Kita menggunakan vaksin Sinovac dan ia berkesan menurunkan kes kemasukan ke hospital, menurunkan kes kemasukan ke ICU, penggunaan alat bantuan penafasan dan kematian,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan