25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

20,670 kes baharu harian COVID-19, Labuan sifar kes

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Jumlah kes baharu harian COVID-19 hari ini masih mencatatkan kes melebihi angka 20,000 dengan sebanyak 20,670 kes baharu dilaporkan.

Maklumat itu dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook di sini.

Menurut beliau, dengan pertambahan kes baharu harian tersebut, menjadikan jumlah kes positif COVID -19 mencecah 1,384,353 kes sejak pandemik melanda negara tahun lalu.

Katanya, Selangor terus merekodkan angka kes tertinggi iaitu sebanyak 6,606 kes.

“Diikuti Kuala Lumpur dengan 2,028 kes, Kedah (1,796 kes), Sabah (1,725 kes), Johor (1,425 kes), Kelantan (1,370 kes), Pulau Pinang (1,251 kes) dan Perak (1,003 kes).

“Pahang (794 kes), Negeri Sembilan (727 kes), Sarawak (725 kes), Terengganu (560 kes) dan Melaka (521 kes).

“Selebihnya, Perlis (61 kes) dan Putrajaya (51 kes) manakala tiada kes baharu di Labuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes kematian COVID -19 melepasi 12,000 dengan 12,228 kes hari ini, susulan pertambahan sebanyak 260 kes kematian baharu melibatkan 195 warga Malaysia dan 65 warga asing.

“Kematian baharu tersebut terdiri daripada 123 lelaki dan 137 wanita serta 68 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID) melibatkan 39 warga tempatan dan 29 warga asing manakala, sebanyak 199 kes mempunyai sejarah penyakit.

“Selain itu, pesakit yang sedang dirawat dan diasingkan juga terus meningkat dengan 243,942 kes termasuk 1,096 kes di Unit Rawatan Rapi dan 540 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya menerusi kenyataan media di sini.

Menurutnya, sebanyak 676 kes (3.3 peratus) daripada jumlah kes hari ini adalah daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala sebanyak 19,994 kes (96.7 peratus) daripada kategori satu dan dua.

“Ini berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID -19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 2,646 kes (12.8 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan telah lengkap vaksinasi (iaitu dua minggu selepas mendapat dos kedua),” katanya.

Sementara itu, berdasarkan status vaksinasi, beliau berkata, sebanyak 388 kes kategori lima dengan 362 kes atau 93.3 peratus tiada atau tidak lengkap vaksinasi manakala, 91 kes kategori empat dengan 79 kes atau 86.8 peratus tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

“Sebanyak 197 kes kategori tiga dengan 170 kes atau 86.3 peratus tiada atau tidak lengkap vaksinasi, 10,567 kes kategori dua dengan 9,154 kes atau 86.6 peratus tiada atau tidak lengkap vaksinasi manakala, 9,427 kes kategori satu dengan 8,259 kes atau 87.6 peratus tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 34 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 20 kluster tempat kerja, 12 kluster komuniti serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan.

Tambah beliau, kadar kebolehjangkitan pada semalam menunjukkan, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.05 dengan negeri mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Perlis (nilai RT 1.41).

“Ia diikuti oleh Sabah, Kelantan dan Pulau Pinang (masing-masing nilai RT 1.18) serta Sarawak (nilai RT 1.15). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Labuan dan Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, kes baharu harian COVID-19 di Labuan yang dilaporkan telah merekodkan sifar kes hari ini dianggap sebagai satu kejayaan.

Kementerian Wilayah Persekutuan dalam perkongsian di Facebook memaklumkan butiran seperti berikut :

Hari ini Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya mencapai SIFAR kes untuk COVID-19!

Alhamdulillah, syabas dan tahniah diucapkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan yang diketuai oleh Rithuan Ismail serta Dr. Ismuni Bohari, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan dan tidak dilupakan Ketua Polis Daerah Labuan di atas usaha keras memerangi pandemik ini terutamanya ketika Labuan dilanda varian Delta tempoh hari.

Terima kasih dan syabas juga diucapkan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang menjadikan pencapaian ini satu realiti.

Semoga Labuan kekal sifar kes – Edisi 9

Terkini

Parlimen Malaysia, UNDP perbaharui kerjasama sehingga 2025

PARLIMEN Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama sehingga 2025. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri...

Lagi Artikel Berkaitan